Ditangkap isi 800 liter diesel tanpa permit

MUKAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah merampas sejumlah 800 liter diesel bersubsidi bernilai RM1,656 di Daro, semalam.

Ketua KPDNHEP Mukah Salihin Den berkata kegiatan itu berjaya dihidu oleh pihaknya hasil Ops Nozel yang dilakukan ke atas seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Daro.

“Semasa melakukan pemeriksaan rutin di Pekan Daro, kelihatan sebuah Toyota Hilux dilihat dalam keadaan mencurigakan dan gagal menunjukkan dokumen permit yang sah.

“Kenderaan yang digunakan membawa diesel berkenaan turut dirampas dan dibawa ke pejabat untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut ,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Score, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata tindakan turut dikenakan ke atas stesen minyak terbabit kerana menjual kepada individu yang tiada mempunyai permit.

“Stesen minyak sepatutnya menjual minyak terus ke tangki kenderaan, bukan melalui tangki yang boleh memuatkan kapasiti lebih 100 liter minyak.

“Kami turut menyita tangki minyak stesen tersebut yang berkapasiti 6,800 liter dengan nilai anggaran RM14,076 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Salihin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat denda tidak melebihi RM2 juta.

Salihin turut menyeru mana-mana pihak yang ingin mendapatkan permit agar membuat permohonan terus kepada KPDNHEP Mukah.

“Ia amat mudah dan percuma kepada sesiapa sahaja, mereka hanya perlu sertakan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan,” ujarnya.

Suara Sarawak