KUCHING: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkongsi khabar duka apabila ayahnya Awang Sauni Pengiran Anis, menghembuskan nafas terakhir ketika tidur, sekitar jam 2.45 pagi tadi.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri oleh beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya yang turut memuat naik gambar kenangan bersama Almarhum.
Menurut Lukanisman, jenazah ayahnya diuruskan di Masjid Darul Istiqamah, Luak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Beluboh.
“Saya dan pihak keluarga memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan Almarhum baik sengaja atau tidak.
“Semoga segala amal kebaikan Almarhum diterima Allah SWT dan dosanya diampunkan,”ujarnya dalam hantaran tersebut.
Berita pemergian Almarhum turut mengundang rasa dukacita dalam kalangan pemimpin negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu hantaran di Facebook merakamkan ucapan takziah kepada Lukanisman.
“Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Takziah buat sahabat saya Datuk Lukanisman atas pemergian ayahanda tercinta.
“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta mendapat rahmat Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menzahirkan rasa sedih dan simpati bagi pihak seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau menyifatkan pemergian seorang bapa sebagai kehilangan besar yang tidak dapat diganti.
“Kami mendoakan agar Datuk Lukanisman dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga segala amal baik Almarhum diterima Allah dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” ujarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Lukanisman.
“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut berkongsi rasa simpati dan mendoakan agar Lukanisman sekeluarga diberi ketenangan dalam menghadapi kehilangan ini.
“Salam takziah daripada saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya,” katanya.
Keyword: Sarawak / Utama / Lukanisman Awang Sauni / Takziah / Pemergian Ayahanda / Ucapan Pemimpin





