ARTIKEL

Dosa yang dihantar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA menonton YouTube, saya terkesima mendengar pemilik akaun YouTube — Andy TK yang mengatakan, “Tolong jangan kongsi video kayak gine Cuy. Ini seperti dosa yang dihantar”. 

Pada mulanya dia hanya berkongsi video-video lucu, yang kemudian membuatkan emosinya terganggu. Ada berberapa video yang bukan sahaja tidak kelakar, tetapi tidak memberikan apa-apa makna.

Dia terus mengatakan video itu hanya menyebabkan penonton mendapat dosa apabila membuat komen jelik, menghina, mencaci dan marah. Ini semua disebabkan dalam dunia tanpa sempadan hari ini, jari kita lebih pantas bertindak daripada fikiran. 

Setiap hari, kita membaca pelbagai hantaran di media sosial. Ada hantaran yang menggembirakan, menyentuh hati, dan tidak kurang juga mengundang rasa marah. Di situlah bermulanya satu bentuk “dosa yang dihantar” iaitu apabila kita memilih untuk membalas dengan kata-kata yang tidak baik di ruangan komen.

Kita mungkin fikir komen itu sekadar luahan secara spontan. “Saya hanya berikan pendapat,” itu alasan yang sering digunakan. Hakikatnya, setiap perkataan yang ditaip bukan sahaja dibaca oleh individu yang disasarkan, malah oleh beratus-ratus dan mungkin beribu-ribu orang lain. 

Ia akan menjadi rekod kekal melalui jejak digital yang sukar dipadam. Lebih membimbangkan, budaya mengkritik secara kasar di media sosial kini seolah-olah sudah menjadi norma dalam kehidupan masyarakat.

Ketika melihat seseorang berkongsi pandangan di media sosial, tanpa berfikir panjang kita membalas dengan sindiran, kecaman, malah hinaan. Seolah-olah tiada lagi garis pemisah antara perbezaan pendapat dengan serangan peribadi. 

Apa-apa sahaja yang tidak dipersetujui akan dibalas dengan kata-kata pedas. Kadang-kadang, seseorang itu dihukum hanya kerana satu kesilapan kecil tanpa diberi ruang untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Penyebab perkara ini? Sebahagiannya mungkin kerana kita berasa “selamat” di sebalik skrin telefon bimbit atau komputer. Tanpa berdepan mata, empati kita semakin menipis. Kita lupa, di sebalik akaun media sosial itu, ada manusia yang mempunyai perasaan, maruah dan kehidupan sendiri.

Ada antara kita yang tidak berkata kasar di dunia nyata, tetapi menjadi sangat berani di alam maya. Sangat mudah meninggikan suara melalui papan kekunci, sedangkan jika bertemu secara berdepan, belum tentu kata-kata itu sanggup diucapkan. 

Di sinilah lahirnya dosa yang tanpa disedari dihantar, dikongsi, dan disokong pula oleh orang lain melalui tanda suka dan komen tambahan.

Persoalannya, apa sebenarnya yang kita peroleh daripada komen menyakitkan itu? Adakah ia membetulkan keadaan atau akan mengeruhkan lagi suasana? 

Dan dalam banyak keadaan, kata-kata negatif hanya mengundang reaksi balas yang sama. Perbincangan bertukar menjadi pertengkaran. Isu kecil menjadi besar dan, akhirnya, tiada siapa yang benar-benar menang.

Lebih malang, kata-kata yang dianggap biasa sebenarnya mampu meninggalkan kesan mendalam kepada orang lain. Ada yang hilang keyakinan diri, mengalami tekanan emosi, malah takut untuk bersuara lagi selepas dihina secara terbuka di media sosial. 

Kita mungkin mematikan telefon dan melupakan komen yang ditulis, tetapi orang yang menerimanya mungkin memikul beban itu untuk tempoh yang lama.

Situasi ini menunjukkan betapa mudahnya masyarakat menghukum tanpa mengetahui keseluruhan cerita. Hanya berdasarkan satu gambar, video pendek atau kenyataan, seseorang boleh dijadikan sasaran kecaman beramai-ramai, sedangkan apa-apa yang dipaparkan di media sosial tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar. 

Kadangkala, kita hanya melihat dan membaca sebahagian kecil daripada keseluruhan kisah. Sebaliknya, jika kita memilih untuk diam atau menegur secara berhemah, kesannya jauh berbeza. 

Nada yang baik tidak semestinya melemahkan hujah, malah, ia menunjukkan kematangan, kebijaksanaan dan rasa hormat terhadap orang lain. Teguran yang dibuat dengan sopan lebih mudah diterima berbanding kata-kata penuh emosi dan kemarahan.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan? Latih diri untuk berhenti seketika sebelum memberi reaksi kerana tidak semua perkara memerlukan respons pantas. Kadangkala, diam itu lebih baik daripada menambah luka. 

Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, kita terlalu terbiasa mahu membalas setiap perkara dengan pantas hingga terlupa untuk berfikir akibatnya.

Seterusnya tapis emosi sebelum menulis. Jika pada saat itu kita sedang marah, kecewa atau tersinggung, elakkan menaip. Tunggu sehingga emosi reda, barulah kita menilai sesuatu secara rasional. Ini kerana banyak pertengkaran di media sosial berlaku disebabkan manusia bertindak ketika emosi sedang memuncak.

Bezakan antara menegur dengan menghina. Menegur itu membina, manakala menghina hanya meruntuhkan. Pilih perkataan yang jelas tetapi beradab. Kita juga boleh tidak bersetuju tanpa perlu menjatuhkan maruah orang lain.

Jika tiada perkara baik untuk diperkatakan, lebih baik diam! Ini bukan tanda kita lemah, tetapi tanda kita menjaga diri daripada terjebak dalam perkara tidak bermanfaat. Kadangkala, tindakan terbaik ialah memilih untuk tidak ikut serta dalam perbalahan yang tidak membawa apa-apa kebaikan.

Gunakan media sosial untuk menyebarkan kebaikan kerana setiap komen positif walaupun kecil mampu mengubah suasana dan memberi semangat kepada orang lain.

Ibu bapa, guru dan masyarakat juga perlu mendidik generasi muda tentang adab berkomunikasi di alam maya. Teknologi mungkin berubah dengan pantas, tetapi nilai hormat, sopan santun dan empati tetap perlu dipelihara. Kemudahan teknologi seharusnya menjadikan manusia lebih bijak, bukan lebih mudah menyakiti orang lain.

Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya kepada diri sendiri sebelum menekan butang hantar di media sosial. “Adakah komen ini perlu dan adakah ia membina atau merosakkan?” Tanya lagi, “Adakah saya sanggup berkata perkara yang sama secara berdepan?”

Jika jawapannya tidak, lebih baik kita berhenti seketika. Dalam dunia digital ini, setiap perkataan ialah cerminan diri. Dosa yang dihantar itu walaupun kecil pada pandangan kita, boleh menjadi beban besar bukan sahaja kepada orang lain, tetapi juga kepada diri sendiri.

Media sosial hanyalah alat. Penentu baik atau buruknya bukan teknologi, tetapi cara kita menggunakannya. Jika digunakan secara bijak, media sosial mampu menjadi ruang berkongsi ilmu, menyebarkan inspirasi dan mengeratkan hubungan. 

Namun jika digunakan tanpa kawalan emosi dan pertimbangan, ia boleh menjadi tempat penuh kebencian dan permusuhan. Pilihan itu sentiasa berada di tangan kita. Jangan pula kita yang menjadi penghantar dosa itu.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU