SPAOH: Datuk Amar Douglas Uggah Embas menang bergaya dengan memperoleh 5,373 undian, sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2016.
Calon GPS itu mendapat majoriti 3,988.
Beliau menewaskan calon PSB, Andria Dundang yang hanya memperoleh 1,385 undi.
Manakala seorang pencabarnya Mikhael Matthew Abdullah daripada PKR hanya mendapat 136 undi.
Uggah terdahulu ketika ditemui semasa membuang undi di rumah panjang Mendit Unsu, Penom mengakui PRN-12 sangat berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Dulu boleh berkempen dengan mudah dari satu kawasan ke satu kawasan, tidak perlu menjaga jarak, tidak perlu memakai pelitup muka…apabila kita berjumpa rakyat kita berjabat tangan, jika tidak berjabat tangan kita akan hilang undi.
“Tetapi kali ini berjabat tangan tidak boleh, senyum pun susah…dan kita cuma dibenarkan mengadakan ceramah di sesuatu tempat dengan SOP ketat.
“Seperti kawasan saya (ada 54 rumah panjang dan satu kampung Melayu dengan 854 rumah), untuk memastikan mesej sampai, mahu tidak mahu mesti naik ke rumah-rumah kerana sosial media terhad.
“Justeru, kita perlu menubuhkan banyak pasukan dan semua ini cabaran dalam PRN-12,” katanya.
Untuk rekod pada PRN-11, Uggah menewaskan Noel Changgai Bucking (PKR) dengan majoriti 4,599.


