KUCHING: Penyelidik dan pensyarah kanan di Swinburne University of Technology Kampus Sarawak, Dr James Loi Chun Han, mengharumkan nama negara apabila dilantik sebagai Felo Pusat Antarabangsa UNESCO bagi Rangkaian Sekolah Rakan Sekutu (ICUA) yang berpangkalan di Sanya, China.
Menurut kenyataan media Swinburne, pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan Dr Loi dalam bidang pendidikan global, khususnya dalam memperjuangkan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 di bawah agenda Pendidikan 2030 UNESCO.
“Rangkaian Sekolah Rakan Sekutu UNESCO (ASPnet) menghubungkan hampir 10,000 sekolah dari 180 negara di seluruh dunia.
“Matlamat ASPnet adalah membina keamanan dalam minda generasi muda melalui pendidikan berteraskan nilai hak asasi, kesaksamaan jantina, kepelbagaian budaya dan solidariti antarabangsa,” jelas kenyataan.
Dr Loi amat berbesar hati dan bersyukur atas pelantikan ini.
“Ia merupakan pengalaman amat bermakna dan membanggakan kerana dapat menyumbang usaha ke arah merealisasikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua,” katanya dalam kenyataan itu.
Ujar kenyataan lagi, Dr Loi bukan nama asing dalam komuniti UNESCO.
“Tahun lalu, beliau merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang dijemput menghadiri Forum Polisi Antarabangsa mengenai Tuisyen Tambahan Swasta di ibu pejabat UNESCO di Paris.
“Beliau juga merupakan antara 12 ahli pertama Komuniti Amalan (CoP) UNESCO yang berperanan sebagai kumpulan pemikir antarabangsa dalam isu berkaitan tuisyen swasta, merangka cadangan dan kerjasama penyelidikan dasar kepada negara anggota,” ujar kenyataan.
Tambah kenyataan, sebagai Felo ICUA, Dr Loi akan terlibat dalam pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan kapasiti, penyelidikan dasar pendidikan, serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan di seluruh dunia.
Dr Loi (kiri) bersama Pengarah Eksekutif ICUA, Profesor Zhang, di pejabat pusat tersebut di Sanya, China.



