Dr Sim ancam saman pemfitnah

KUCHING: Kesemua dana bantuan makanan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak disalurkan kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian di seluruh Sarawak, jelas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau menyangkal kenyataan fitnah beberapa pemimpin DAP Sarawak termasuk Pengerusinya Chong Chieng Jen bahawa beliau mengawal dana bantuan makanan seperti yang dilaporkan di dada akhbar baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan tersebut mengatakan beliau mengawal dana peruntukan untuk Dun Padungan, Batu Lintang, Pending dan Kota Sentosa dengan jumlah keseluruhan RM800,000.

Pemimpin DAP jelasnya, dengan sengaja membuat tuduhan palsu dan mengulangi perkara yang sama terhadap dirinya melalui media sosial dan akhbar harian.

“Mereka berniat jahat untuk menjatuhkan imej saya dengan tuduhan tidak benar mengenai menyalahgunakan dana tersebut.

“Saya telah menjelaskan sebelum ini, memandangkan intensitif memerangi Covid-19 di negeri kita sendiri.

“Keutamaan kami harus fokus untuk mengatasi krisis dengan memastikan semua rakyat Sarawak selamat seperti sebelumnya dan bebas penyakit,” tambahnya lagi.

Tambah Kui Hian, barisan hadapan kesihatan dan penguatkuasaan kini mempertaruhkan nyawa demi mencapai matlamat tersebut.

“Penulis (akhbar) bertindak melampaui batas dengan serangan berterusan, berulang dan berniat jahat tanpa asas dan tanpa mengesahkan fakta terlebih dahulu.

“Dalam keadaan seperti ini, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan surat undang-undang kepada pihak yang membuat tuduhan dengan memfitnah saya mengenai peruntukan dana bantuan makanan di Kuching,” tegasnya lagi.