SEMATAN kembali menjadi tumpuan utama para peminat aktiviti rekreasi laut apabila Pertandingan Memancing MYSED Joran Sematan 2025 berlangsung meriah pada 25 hingga 27 Julai lalu.
Acara yang diadakan sempena Pesta Sematan itu bukan sahaja menyemarakkan suasana komuniti tempatan, malah menyatukan pemancing dari seluruh kawasan selatan Sarawak dalam semangat persahabatan dan persaingan sihat.
Sebanyak 70 orang pemancing dari Kuching, Lundu, dan Sematan telah menyertai pertandingan kali ini, sekali gus menandakan peningkatan penyertaan berbanding edisi sebelumnya.
Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada program anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan (MYSED). Program ini bertujuan menggalakkan pelibatan belia dalam aktiviti luar serta mengetengahkan potensi pelancongan kawasan luar bandar seperti Sematan.
DSKY ANGLERS TEAM UNGGULI PERTANDINGAN
Acara kemuncak pertandingan menyaksikan DSKY Anglers Team meraih kemenangan berganda apabila wakil mereka, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan
. Kejayaan itu dicapai menerusi tangkapan seekor ikan kerapu seberat 12.8 kilogram, yang bukan sahaja melayakkan beliau memenangi hadiah utama wang tunai RM3,000, malah menobatkan beliau sebagai pemenang kategori ikan terberat bagi spesies kerapu.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, yang turut memuji komitmen para peserta serta pelibatan aktif masyarakat setempat dalam memeriahkan penganjuran Pesta Sematan 2025.
Kejayaan DSKY Anglers Team dalam menjuarai MYSED Joran Sematan 2025 bukan sekadar kemenangan individu, tetapi satu simbol kepada potensi luar bandar Sarawak yang kian menyerlah.
Dalam kenyataan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha semua pihak dalam memastikan penganjuran kali ini berjalan dengan lancar dan berjaya.
Beliau turut menekankan kepentingan acara seperti ini dalam membina rangkaian komuniti serta memperkukuh identiti budaya dan ekonomi tempatan.



