MIRI: Unit Operasi dan Falcon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri telah menyita dua buah motosikal sempena Operasi Khas Perayaan yang dijalankan di tiga lokasi berasingan di sini iaitu Jalan Miri Bypass, Jalan Permy Jaya Bypass dan Jalan Miri-Bintulu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook JPJ Sarawak, operasi yang dijalankan sempena musim perayaan itu bertumpu kepada pelbagai jenis kesalahan jalan raya.
“Antara kesalahan yang dikesan semasa operasi tersebut termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, langgar syarat permit, cermin gelap, tidak memakai topi keledar, muatan bahaya serta kesalahan teknikal yang lain.

“Selain, pasukan operasi juga telah menyita dua buah motosikal di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Menurut kenyataan itu juga, penguatkuasaan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, memastikan pematuhan undang-undang lalu lintas, dan mengurangkan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan ini.
Mengulas lanjut, ia melibatkan peningkatan penguatkuasaan trafik, pemeriksaan kenderaan, kempen kesedaran awam bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan keselamatan serta memandu dengan berhemah.
Untuk sebarang aduan trafik boleh disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan@jpj atau http://jpj.spab.gov.my berserta butiran pengadu dan butiran aduan.



