KOTA SAMARAHAN: Dua buruh ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Damataries Lautin berkata, kedua-dua lelaki berusia 33 dan 24 tahun itu dicekup dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Lorong Uni Garden di sini, kira-kira 9.20 pagi semalam.
Katanya pasukan turut merampas syabu dianggarkan seberat 5.50 gram bernilai RM605 daripada suspek.
“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mendapatkan bekalan dadah jenis syabu daripada seorang lelaki dengan panggilan Golden4444 menerusi WhatsApp dan bekalan dadah tersebut akan diambil di sekitar kawasan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.
Damataries menambah suspek berusia 33 tahun yang berasal dari Kampung Kayan Sa’an, Tebedu turut memiliki lima rekod jenayah lampau, manakala suspek berusia 24 tahun dari Kampung Tebedu Mawang, Tebakang mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Katanya kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.



