KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap dua individu kerana menghalang tugas penjawat awam dalam kejadian polis melepaskan tembakan ke arah sebuah pacuan empat roda yang cuba melanggar anggota polis di Jalan Green, 29 Mac lalu.
Rogers Diana (tertuduh kedua), 42, dan Desmond Daud (tertuduh ketiga), 35, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun yang sama, kerana menghalang tugas penjawat awam menjalankan tugas sebagai anggota polis di sebuah stesen bas di Jalan Green, sekitar 3.20 pagi, 29 Mac lepas.
Jika sabit kesalahan, hendaklah dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan anggota polis bersama-sama pasukannya membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pancuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna merah dan sebuah kenderaan sedan jenis produa Bezza berhenti di sebuah stesen bas di Jalan Green.
Namun, kedua-dua kenderaan terus memecut laju menuju ke arah jalan menghala ke Wisma Forda, kenderaan polis terus mengekori kereta pacuan empat roda tersebut yang masuk ke persimpangan Jalan Merdeka.
Pihak polis kemudian berhenti di pertengahan jalan kerana kenderaan tersebut membuat pusingan U apabila terdapat jalan mati di hadapan.
Ketiga-tiga anggota polis tersebut keluar daripada kenderaan dan bersedia untuk membuat tangkapan, tetapi kenderaan itu terus memecut hendak merempuh dua anggota polis.
Untuk mempertahankan diri, salah seorang anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah kenderaan tersebut sehingga terbabas ke tepi pagar rumah berdekatan.
Kedua-dua tertuduh berjaya ditangkap, manakala suspek utama yang merupakan pemandu kenderaan itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Hasil siasatan mendedahkan kedua-dua tertuduh dan suspek utama menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas dengan tidak memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis.
Difahamkan, kedua-dua tertuduh dan suspek utama didapati positif dadah semasa saringan awal air kencing.
Sementara itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi suspek utama berusia 41 tahun pada 23 April depan bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh—jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Suspek utama tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini untuk sebutan kes kerana perlu ke hospital untuk membuka jahitan luka pada bahagian kedua-dua matanya.



