KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semalam menyampaikan surat cara pelantikan kepada Datuk Nadzirah Osman dan Datuk Zanariah Zainal Abidin sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan Geneva.
Majlis penyerahan instrumen pelantikan itu berlangsung di Kementerian Luar atau Wisma Putra di Putrajaya.

Nadzirah, yang menyertai perkhidmatan awam pada 1994, sebelum ini berkhidmat sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva sejak 2023. Beliau juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Belanda serta berkhidmat di Mexico City dan London.
Zanariah pula menyertai perkhidmatan awam pada 1995 dan sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia sejak 2021. Beliau pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta.
Kedua-dua diplomat berpengalaman itu turut memegang pelbagai jawatan penting di Wisma Putra dan pernah berkhidmat di beberapa bahagian serta misi diplomatik Malaysia di luar negara seperti dipetik Bernama.



