Dua ekor kucing hutan bernilai RM50,000 dirampas

KUCHING: Dua ekor kucing hutan jenis ‘Flat Headed Cat’ bernilai sekitar RM50,000 berjaya dirampas Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching di sebuah rumah daerah Bau, petang Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Batu Kawa, Supt Rosdi Inai berkata rampasan dilakukan hasil serbuan yang dilakukan pasukannya bersama dua pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) di kawasan terbabit sekitar jam 6.30 petang.

Menurut beliau, maklumat berkaitan penyembunyian haiwan terbabit diketahui selepas risikan awal dibuat oleh gerakan risikan pasukan Batalion 11 Kuching.

“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan belakang tandas rumah berkenaan telah diubah suai menjadi sangkar haiwan untuk dua kucing hutan berpasangan.

“Kedua-dua kucing tersebut dipercayai untuk dijual kepada penggemar haiwan eksotik namun menunggu tawaran harga tertinggi untuk dilepaskan,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dedahnya, susulan kejadian seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengaku sebagai pemilik haiwan tersebut telah ditahan untuk disiasat lanjut.

Tambahnya, kes seterusnya diserahkan kepada pihak SFC Kuching untuk disiasat mengikut Seksyen 29, (1) Ordinan  Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Jika didapati bersalah suspek boleh dikenakan hukuman denda RM 25,000.00 dan penjara dua tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya PDRM bagi mengawal aktiviti menyeludup dan melindungi khazanah negara.

Suara Sarawak