MIRI: Dua individu berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pujut 7 berhampiran Stesen Minyak Petronas di sini, hari ini.
Komander Operasi PBK II Mohamad Fairus Apit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.23 pagi itu, kebakaran melibatkan kereta Proton Perdana dengan kereta Perodua Myvi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian susulan menerima panggilan kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fairus, sejurus tiba di lokasi, kereta Proton Perdana itu dilaporkan telah terbakar sepenuhnya.
Katanya, pasukan bomba berusaha memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula pam jentera dan sumber air dari tangki jentera.
“Sementara dua individu dalam kereta Proton Perdana dan seorang dalam kereta Perodua Myvi dilaporkan selamat dan tiada mengalami kecederaaan.
“Operasi ditamatkan pada jam 03.10 pagi,” katanya.



