Dua jalan utama di Betong terjejas akibat hujan

BETONG: Dua jalan utama ke kawasan Sungai Langit dan Penyelanih terjejas sedikit ekoran hujan lebat yang berlarutan siang tadi.

Pegawai Operasi BBP Betong PBK I Henry Jugah memberitahu, kejadian pertama melibatkan tanah runtuh menuju ke kawasan Sungai Langit, Layar iaitu 59 kilometer dari Bandar Betong.

Katanya, bomba dimaklumkan kira-kira 2:20 petang dan setibanya di tempat kejadian berlaku tanah runtuh sehingga menghalang laluan.

“Pihak kita bertindak memohon bantuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong untuk membersihkan tanah yang menutupi permukaan jalan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, kurang sejam kemudian bomba Betong turut dimaklumkan dengan kejadian banjir kilat menyebabkan jalan utama (jambatan) menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Mark Rh. Raba Penyelanih Layar terputus.

Difahamkan paras air sungai meningkat secara mendadak.

Bagaimanapun, sehingga petang tadi kedua-dua kawasan sudah boleh dilalui semula selepas kerja pembersihan dilakukan dan trend air sungai semakin surut.

 

Suara Sarawak