ARTIKEL

DUA JIWA, SATU MATLAMAT UKIR KEJAYAAN DUNIA MINYAK WANGI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA jiwa, satu matlamat, ungkapan tepat untuk menggambarkan semangat dua individu yang dahulunya berkhidmat sebagai pendidik, melangkah keluar dari zon selesa mereka untuk mengejar impian yang lebih besar.

Kisah Mohd Khafizul Awam Mohd Amran dan Mohd Yusri Mohamad Yunus bermula apabila mereka sekadar pelanggan dan pembekal minyak wangi mini di Facebook sekitar 2021.

Ketika itu, kedua-duanya masih mengendalikan perniagaan masing-masing sebelum bergabung di bawah satu nama, iaitu MEKAR pada 2023.

Khafizul, atau lebih mesra dipanggil Adeng, memebritahu, sebelum munculnya MEKAR, dia memiliki perniagaan minyak wangi dikenali sebagai Binari Fragrance.

“Saya menjual minyak wangi di bawah Binari Fragrance yang memberi tumpuan kepada jualan secara dalam talian menggunakan Facebook dan TikTok.

“Berbeza pula bagi Yusri, yang ketika itu menjalankan perniagaan minyak wangi YNV Perfume secara fizikal dan dalam talian menerusi aplikasi Facebook,” kongsinya kepada Suara Sarawak.

Itulah sedikit banyak permulaan Yusri dan Adeng yang berkongsi minat mendalam tentang minyak wangi sehingga ditakdirkan bertemu melalui komuniti penjual minyak wangi.

Sejak itu, mereka berdua mula menjadi sahabat karib yang berkongsi cita-cita dan impian yang sama untuk mengembangkan perniagaan minyak wangi yang mereka usahakan sehingga terdetik idea untuk bergabung menjadi rakan kongsi.

Kongsi Adeng, saat perniagaannya sudah mula dikenali ramai, dia membuat keputusan besar demi mencapai impian lebih tinggi.

“Keputusan besar dan berat yang saya perlu buat ialah melepaskan kerjaya saya sebagai pendidik untuk mengejar impian ini.

“Ini kerana, saya percaya kita perlu mengambil tindakan drastik jika ingin berjaya agar dapat memberi tumpuan satu perkara sahaja.

“Pun begitu, saya bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan menghormati dan mempercayai keputusan saya,” jelasnya. Sama seperti Adeng, Yusri turut berdepan dilema dalam memilih antara kerjaya sebagai pendidik atau cintanya terhadap MEKAR.

“Ketika itu, saya juga seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Balai… keputusan untuk berhenti bukan perkara mudah kerana saya perlu memikirkan tentang isteri dan anak-anak.

“Namun, saya sangat bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang sangat memahami, ketika saya perlu membahagikan masa antara kerja hakiki sebagai guru di sekolah dengan perniagaan YNV Perfume yang memerlukan saya membuat live hingga lewat malam… belum lagi penghantaran kepada pelanggan.”  

“Banyak masa bersamasama keluarga terpaksa saya korbankan, sehinggalah isteri saya memberi keizinan untuk saya berhenti sebagai pendidik bagi meneruskan minat saya dalam perniagaan ini,” ujarnya.

Menjelas lanjut, Yusri menyifatkan isteri dan anakanaknya sebagai sumber kekuatan yang sentiasa memberi semangat kepadanya untuk terus berusaha keras hingga kini.

“Sokongan daripada orang tercinta menjadi sumber kekuatan saya, terutama isteri dan anakanak serta keluarga yang membuat saya terus bekerja keras demi kehidupan lebih selesa.

“Pada tahun pertama bersama MEKAR, saya dan Adeng perlu melakukan hampir semua perkara, termasuk jualan, pemasaran, menjaga stok, dan membungkus minyak wangi sendiri kerana ketika itu, kami belum mempunyai 12 kakitangan seperti sekarang.

“Semua penat lelah itu akhirnya membuahkan hasil kerana sekarang kami sudah mempunyai pasukan MEKAR sendiri, baik di Bintulu mahupun Kuching, yang sedia membantu pelanggan yang memerlukan cadangan wangian dan lain-lain,” katanya.

Kini, nama MEKAR berjaya memikat ramai pencinta minyak wangi di seluruh Sarawak dengan konsep decant yang memudahkan orang ramai mencuba wangian yang diminati sebelum membeli saiz besar. Lebih menarik lagi, MEKAR turut mempunyai dua cawangan, termasuk di Bintulu dan bandar raya Kuching iaitu di Tabuan Transquility 3 (TT3) — cawangan kedua mereka yang beroperasi sejak 21 Oktober tahun lalu.

Kongsi Adeng, pembukaan cawangan MEKAR memberi peluang kepada pelanggan, atau lebih mesra dipanggil Mekarist, untuk merasai pengalaman membeli minyak wangi di butik ternama.

“Cawangan di Kuching, khususnya, direka bentuk seperti butik mewah dengan konsep klasik moden untuk mewujudkan suasana eksklusif dan elegan.

“Saya sendiri secara peribadi banyak terlibat dalam pemilihan dan reka bentuk bagi cawangan ini kerana saya mahu memberikan keselesaan kepada Mekarist,” ujarnya.

Sementara itu, Yusri turut berkongsi perancangan mereka untuk mengubah penampilan cawangan pertama mereka dengan membawa konsep yang sama seperti di Kuching. 

“Kami merancang untuk mencantikkan cawangan pertama kami di Bintulu agar pelanggan yang datang membeli dapat merasai pengalaman yang sama seperti Mekarist di Kuching,” kongsinya.

Di sebalik kejayaan MEKAR, Yusri dan Adeng berpegang teguh pada tiga prinsip dalam menjayakan MEKAR iaitu disiplin, komitmen, dan konsisten. “Yang pertama, kita perlu ada disiplin kerana tanpa disiplin, kita tidak dapat melaksanakan sesuatu perkara mengikut masa yang ditetapkan. Jika kita sudah ada disiplin, komitmen yang kedua akan datang.

“Setiap orang ada komitmen masing-masing, tetapi tidak semua orang dapat mengorbankan satu komitmen untuk memberi tumpuan kepada satu perkara… jadi di sini kita perlu belajar melepaskan satu tanggungjawab yang menghalang kita. “Jika kita dapat menguasai disiplin dan komitmen, kita perlu sentiasa konsisten kerana dengan konsistensi dalam setiap perkara yang kita lakukan, pasti hasilnya tidak mengecewakan.

“Jangan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh hanya pada permulaan dan kemudian meninggalkannya apabila sudah bosan,” kongsi Adeng dan Yusri ketika ditanya tentang resepi kejayaan mereka dalam menjalankan perniagaan ini.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha