MUKAH: Dua kanak-kanak dan seorang remaja cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di simpang Taman Desa Orchid Mukah Jalan Mukah Oya, tengah malam tadi.
Seorang penumpang dikenali Sylvisther Jessica 11 tahun dirujuk ke Hospital Bintulu kerana mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan berlaku pendarahan di bahagian abdomen.
Manakala Sandrane Jata Munji 12, mengalami patah tulang bahu kanan dan Eilen Marcela Kechandai 19 termasuk pemandu wanita 31 tahun mengalami kecederaan ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias, kereta Perodua Myvi biru yang dinaiki mangsa dipandu dari arah Mukah telah dilanggar oleh kereta pacuan empat roda Chevrolet.
“Berdasarkan laporan, pemandu Myvi bergerak dari Mukah ke Oya sekitar jam 11.30 malam dan memasuki simpang untuk pulang ke rumah, secara tiba-tiba mereka dilanggar oleh pacuan empat roda yang bergerak dari arah yang sama.
“Akibat dari kemalangan itu, semua penumpang kereta Myvi mengalami kecederaan parah dan seorang mangsa dirujuk ke Hospital Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, saksi kejadian digesa untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 bagi membantu kes.
Kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
