ENGKILILI: Satu kes tanah runtuh, selain dua kawasan dinaiki air dilaporkan di sekitar Engkilili, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu Leftenan Desem Samuel berkata, runtuhan tanah berlaku di belakang Rumah Panjang Nyalau dekat Nibong.
“Tiga bilik (pintu) terjejas akibat runtuhan yang berlaku di belakang rumah panjang dan hampir menyebabkan dinding runtuh.
“Tanah susur berlaku di satu kawasan sepanjang 20 kaki dengan kedalaman 15 kaki, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
APM jelasnya, memasang pita keselamatan di kawasan runtuhan agar penduduk tidak menghampiri kawasan tersebut.
Bilik yang terjejas dihuni keluarga Labang Rengga, Dana Dindang dan Bundai Jinpon.
Sementara itu, hasil pemantauan di kawasan dinaiki air telah berlaku di Merbong, Engkilili, tambah Desem.
“Jalan Merbong dinaiki air setinggi satu meter dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil. Turut terjejas rumah di Sungai Menuang.
“Namun demikian, keadaan terkawal dan air semakin surut,” ujarnya.
Di Ensurai pula katanya, keadaan air dilaporkan telah surut sepenuhnya.
“Tiga keluarga terjejas membabitkan kawasan dapur rumah mereka. Walaupun keadaan semakin pulih, saya menasihati penduduk agar sentiasa berhati-hati ekoran kemungkinan paras air akan menaik semula,” katanya.






