MUKAH: Dua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bunut pada Rabu lalu menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan dan keperluan asas daripada pelbagai pihak.
Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, hari ini.
Bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal, bantuan yang disalurkan merangkumi Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300, bantuan bahan binaan berjumlah RM10,000, bantuan pakaian harian RM900 serta bantuan wang saku RM600.
Secara keseluruhan, keluarga berkenaan menerima bantuan berjumlah RM11,800 termasuk TBS.



Manakala, keluarga penyewa yang turut menjadi mangsa kebakaran menerima TBS sebanyak RM300, bantuan pakaian sekolah sebanyak RM1,200 dan bantuan peralatan sekolah RM800, bantuan pakaian harian RM2,100 serta bantuan wang saku sebanyak RM1,400.
Jumlah keseluruhan bantuan yang diterima keluarga tersebut ialah RM5,800 termasuk TBS.
Dengan adanya bantuan tersebut, Fatimah berharap agar ia dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi mangsa susulan kejadian itu.
Terdahulu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Mukah telah menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas kepada mangsa kebakaran selepas menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili; dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng.



