Dua kematian, 199 kes positif baharu Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Terdapat dua kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 di Sibu hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 69 kes.

“Sementara itu, terdapat 199 kes positif Covid-19 yang dikesan di Sarawak dengan Sibu (126), Kapit (15), Sri Aman (13), Bintulu (13), Kuching (7), Miri (6), Dalat (5), Kanowit (5), Meradong (4), Subis (2), Samarahan (1), Serian (1) dan Beluru (1)] menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 7,624 kes.

“Kes kematian ke-68 merupakan kes ke-7,089 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 59 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan masalah kesukaran bernafas.

“Kes kematian ke-69 pula merupakan kes ke-5,862 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 83 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami kesesakan nafas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini.

Tambah Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan dua kluster baharu jangkitan Covid-19 iaitu kluster Jalan Green, Kuching dan kluster Kejatau, Sri Aman.

“Kluster Jalan Green adalah satu kluster komuniti yang dikesan di Daerah Kuching dengan indeks adalah kes ke-7,093 dan ke-7,094 melalui saringan orang kena tahan (OKT) tangkapan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada 14 Februari lalu.

“Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak-kontak kepada kedua-dua kes indeks ini, tambahan empat kes telah dikesan dan Sehingga 19 Februari seramai 148 individu dengan 6 kes positif, 30 negatif manakala 112 kes masih menunggu keputusan,” jelasnya.

Tegasnya, kluster Kejatau, Sri Aman pula melibatkan sebuah pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan Fasa 2, Jalan Kejatau, di Daerah Sri Aman.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,437 iaitu seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 27 tahun yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Sri Aman.

“Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak-kontak kepada kes indeks ini, tambahan enam dengan lima dalam kalangan rakan sekerja dan satu dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya.