SAMARAHAN: Dua lelaki berjaya dicekup oleh Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Samarahan kerana disyaki mencuri kabel di Jalan Stakan, semalam (16 Januari).
Menurut satu perkongsian di laman sosial Facebook Polis Daerah Kota Samarahan, tangkapan kedua-dua suspek berusia 25 tahun dan 31 tahun itu ekoran menerima maklumat orang awam.
“Maklumat orang awam menyatakan bahawa mereka menyedari kelibat suspek sedang memotong kabel.
“Kedua-dua suspek turut menyelongkar sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan,” katanya.
Pihak polis berjaya menangkap mereka seterusnya membawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Turut dirampas dalam tangkapan terbabit ialah segulung kabel yang telah dipotong, pelbagai peralatan pemotong besi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.



