KUCHING: Dua lelaki yang menaiki motosikal ditahan dipercayai melanggar anggota polis menjalankan tugas sekatan jalan raya di Jalan Padungan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, sebahagian daripada kejadian itu juga dirakam orang awam menerusi satu video berdurasi 39 saat yang tular di media sosial.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Aliff, di talian 013-3115854.


