KUCHING: Dua individu yang berada di pusat hiburan sekitar bandar raya ini ditahan selepas disahkan positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing dalam operasi polis selama dua hari.
Penahanan itu dilakukan susulan serbuan dan pemeriksaan terhadap lima premis hiburan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 29 dan 30 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.
“Hasil pemeriksaan terhadap lima premis hiburan tersebut mendapati dua individu positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan berdasarkan risikan berterusan pihak polis serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah.
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, termasuk individu yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkenaan.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Alexson berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan berkaitan dadah bagi melindungi masyarakat, khususnya generasi muda, daripada ancaman penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada JSJN melalui talian 012-208 7222 atau talian hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di 017-592 9211.






