Dua lelaki parah merempuh pembahagi jalan di Miri

MIRI: Dua lelaki parah selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Tudan, berhampiran Emart Tudan di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, dua lelaki berusia 50-an dalam perjalanan dari Kuala Baram menuju ke Tudan sebelum kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik selepas merempuh pembahagi jalan.

Menurut sumber, semasa kejadian, kenderaan tersebut hilang kawal lalu terbabas selepas pemandu cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba muncul di hadapan.

Kemalangan itu mengakibatkan penumpang tersepit manakala pemandu berjaya dikeluarkan sebelum orang ramai menghubungi bomba untuk bantuan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang mengalami parah diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.