KUCHING: Dua lelaki maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tun Jugah, berhampiran Gala City, tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa mengesahkan insiden berlaku kira-kira 12.40 tengah malam.
“Sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun dari arah pusat bandar menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian merempuh sebuah lagi kereta dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun yang turut membawa seorang penumpang perempuan berusia 14 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Merbin berkata, ketika pemandu dan penumpang kenderaan kedua cuba membantu pemandu kenderaan pertama, sebuah lagi kereta dari arah jejambat Kenyalang melanggar kenderaan yang terbabas di tengah jalan serta dua mangsa di lokasi kejadian.
Akibat pelanggaran itu, kereta ketiga dipandu lelaki berusia 25 tahun turut terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kenderaan yang berhenti di bahu jalan untuk membantu.
“Dua mangsa maut di tempat kejadian, iaitu pemandu kenderaan pertama dan kedua. Penumpang perempuan berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Pemandu kenderaan ketiga dan keempat pula hanya mengalami cedera ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol di talian 0168593994 atau 082259900,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.



