BETONG: Mayat remaja yang lemas selepas bermandi-manda di sungai berhampiran Batu Lintang, Layar ditemui pada kedalaman lima meter di dasar sungai.
Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi berkata, pada Ahad dua remaja disahkan lemas dan meninggal dunia selepas bermandi-manda di sungai berhampiran Batu Lintang.
Mangsa pertama dikenali sebagai Norman Shakimie Abdullah, 16, bagaimanapun menurutnya ditemui oleh penduduk.
“Sementara Afiq Aiman Mohamad Adress, 16, iaitu pelajar Kolej Vokasional Betong ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) diketuai PBK II Edwin Jonani yang membuat penyelaman di kawasan tragedi.
“Selepas kira-kira 15 minit, PPDA berjaya menemukan mayat Afiq pada kedalaman lima meter dalam keadaan terlentang di dasar sungai,” katanya dihubungi, semalam.
Jelasnya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu pada Ahad, kira-kira 3.53 petang pihaknya menerima panggilan kecemasan menyatakan dua remaja lemas.
Operasi selesai kira-kira jam 7 petang.



