Dua orang diserang kanser setiap hari

KUCHING: Pengesanan awal kanser dapat menyelamatkan nyawa dan menjadi kemestian wanita untuk peka dengan kesihatan payudara pada setiap masa, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, setiap wanita mesti mengambil tahu setiap perubahan yang berlaku pada tubuh badan mereka.

“Di Sarawak sahaja, terdapat lebih 5,000 kes kanser berlaku setahun, 500 hingga 600 kes ini melibatkan kanser payudara.

“Ini bermakna setiap hari terdapat sehingga dua orang dikesan mempunyai kanser payudara ini terutama dari kawasan pedalaman,” katanya pada Ulang Tahun ke-2 Persatuan Untuk Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) di Sarawak Club di sini, kelmarin.

Tambah Fatimah lagi, lebih teruk, 50 peratus daripada pesakit dikesan mempunyai kanser tahap tiga dan tahap empat, peringkat akhir yang merebak dan sukar untuk dirawat.

“Golongan wanita pelbagai peringkat umur perlu mengenali keadaan sebenar kanser payudara ini boleh wujud.

“Mereka harus mengetahui dan mengesan tanda atau simptom kanser payudara ini.

“Mengenal pasti kanser payu dara peringkat awal merupakan salah satu strategi penting untuk mengelakkan risiko kematian,” ujarnya.

Tegasnya lagi, apabila kanser payudara ini dapat dikesan sejak awal, masih kecil dan belum merebak, ini memudahkan ia dirawat dengan betul.

“Hakikatnya, lebih awal kanser itu dikesan, lebih besar peluang rawatannya berjaya dan pesakit mampu meneruskan kehidupan sama seperti individu sihat.

“Bagi 2019, LPPKN memberi fokus kepada tiga program utama memberi kesedaran terhadap kanser ini, iaitu program My Mammo, melibatkan pengesanan awal kanser payudara melalui ujian ultra bunyi, kedua iaitu My HPV (Human Papillomavirus), program vaksinasi HPV dan seterusnya My HPV DNA, pengambilan sendiri sampel ujian HPV menggunakan alat khas,” jelasnya.

Menerusi setiap usaha murni tersebut katanya, lebih 9,600 wanita di Sarawak dianggar mendapat manfaat program tersebut.

“Kempen outreach turut dilaksanakan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang bahaya kanser payudara dan kanser serviks kepada wanita,” tambah Fatimah lagi.

Fatimah turut merasmikan buku bertajuk So You Have Cancer, What Now A Guide for Patient bertujuan memberi panduan kepada pesakit kanser selain orang awam tentang kefahaman dan pengetahuan yang perlu diketahui mengenai penyakit tersebut.