KUCHING: Festival Maal Hijrah 1447H/2025M dari 20 hingga 29 Jun depan menjanjikan pelbagai hadiah menarik, termasuk dua pakej umrah sebagai hadiah cabutan bertuah utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah dengan hanya mengimbas kod QR yang disediakan.
Menurutnya, selain pakej umrah, cabutan bertuah turut menawarkan hadiah menarik seperti motosikal, peti sejuk serta barangan elektrik yang lain.
Festival tahun ini jelasnya, diadakan selama tujuh hari berbanding tiga hari sebelum ini, berikutan sambutan memberangsangkan edisi terdahulu.
“Tahun lalu, festival selama tiga hari berjaya menarik 17,000 pengunjung. Justeru, kami (LAKMNS) meningkatkan tempoh festival kepada tujuh hari bagi memperbanyakkan pengisian aktiviti.
“Saya berharap sambutan yang berlangsung selama tujuh hari ini juga memberangsangkan,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune Datuk Dr Jeniri Amir di, sini semalam.
Abang Abdul Wahap turut menggalakkan masyarakat bukan Islam untuk menghadiri festival ini kerana ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang bersifat inklusif.
Jelasnya, Festival Maal Hijrah merupakan acara tahunan LAKMNS bertujuan menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Hijrah serta mengimarahkan masjid sebagai pusat riadah sihat berlandaskan nilai-nilai agama. Kata Abang Abdul Wahap, program itu merangkumi pelbagai aktiviti kerohanian, kekeluargaan, dan sukan.
“Antara pengisian lain sepanjang festival selama tujuh hari ini termasuk Malam Cinta Rasul, Jualan Rahmah, info kiosk agensi awam dan swasta, program kesihatan, serta pelbagai pertandingan seperti berzanji dan marhaban, bola sepak jalanan, pickleball dan silat.
“Malah, kali ini terdapat pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan gigi serta program derma darah,” jelasnya.
Beliau memaklumkan,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual menghadiri Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah edisi tahun ini.
Kunjungan hormat LAKMNS menandakan penghargaan kepada Suara Sarawak atas kerjasama dan sokongan yang berterusan terhadap LAKMNS selama ini.
Bersempena sambutan Festival Maal Hijrah tahun ini, Suara Sarawak menjadi media rasmi sebagai saluran media utama LAKMNS dalam membantu memberikan liputan meluas dan menyampaikan informasi secara menyeluruh di Sarawak.
Ketua Pegawai, Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan LAKMNS Megawati Julaihi; Ketua Pegawai, Jabatan Pengurusan Masjid-masjid LAKMNS Abang Bikusary Kadir; Ketua Bahagian, Bahagian Pentadbiran dan Komunikasi Haryati Mohamad dan Pegawai Unit Multimedia LAKMNS Mohamad Hanif Abudullah turut hadir.



