KUCHING: Dua penagih dadah dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Song di sini, kira-kira jam 1.15 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata turut dirampas 12 peket mengandungi 6.23 gram Methamphetamine dianggarkan bernilai RM685.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, kedua-dua suspek berusia 31 dan 44 tahun itu turut masing-masing memiliki satu dan 17 rekod jenayah lampau.
Justeru, Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun, serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.
Katanya kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Januari.



