BAU: Dua penganggur ditahan kerana memiliki dan positif dadah, hasil daripada dua serbuan berasingan yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata tangkapan pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari Taman Goldhill Estate, Jalan Taiton di sini.
Katanya suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sibuluh di sini kira-kira jam 8.45 pagi.
“Pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.15 gram dan suspek turut didapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala tangkapan kedua, katanya melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Grogo, di sini sekitar jam 9.10 pagi.

Katanya serbuan yang dijalankan di rumah suspek turut menjumpai dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.03 gram dan dia turut didapati positif dadah jenis syabu.
Poge berkata nilai dadah yang dirampas dari kedua-dua suspek dianggarkan sebanyak RM150.
Beliau berkata kedua-duanya juga memiliki rekod kesalahan lampau dan akan dipohon reman mulai 2 Ogos ini untuk disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Katanya sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan didenda sehingga RM100,000.
Manakala di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

