ARTIKEL

Dua pengguna jalan raya ditahan selepas positif alkohol dalam operasi polis di Batu 7, Jalan Penrissen, awal pagi semalam.

Dua pengguna jalan raya positif alkohol ditahan di Batu 7

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tindakan dua pengguna jalan raya yang dipercayai memandu dan menunggang selepas mengambil minuman beralkohol terbongkar dalam operasi polis di Batu 7, Jalan Penrissen, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata kedua-dua individu itu ditahan selepas keputusan ujian EBA II menunjukkan bacaan alkohol masing-masing melebihi paras yang dibenarkan mengikut undang-undang.

“Pemeriksaan berkenaan dijalankan menerusi Op Memandu di bawah Pengaruh Alkohol (Op Mabuk) yang berlangsung selama enam jam, bermula 11.30 malam hingga 5.30 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Barry, operasi dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dengan kekuatan seorang Ketua Polis Balai, 10 pegawai dan anggota BSPT serta empat anggota PVR BPJKK.

Dalam operasi itu, katanya, polis memeriksa 69 kenderaan yang merangkumi 22 motosikal, 29 kereta, tujuh pacuan empat roda (4WD), enam kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lima lori, selain membuat pemeriksaan terhadap 96 individu.

“Hasil pemeriksaan, 56 saman PDRM K257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk pengubahsuaian ekzos, penggunaan lampu silau, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran fancy serta kesalahan lampu brek,” katanya lagi.

Barry berkata tiga individu yang menjalani ujian SD2+ didapati positif, manakala ujian EBA II terhadap tiga individu menghasilkan dua keputusan positif dan satu negatif.

Menurut beliau lagi, dua individu yang positif ujian EBA II dibawa ke Pejabat Trafik IPD Padawan untuk tindakan lanjut selepas bacaan alkohol didapati melebihi had ditetapkan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2019).

“Operasi berkenaan akan terus dipertingkatkan bagi menghalang pengguna jalan raya daripada memandu atau menunggang dalam keadaan dipengaruhi alkohol serta memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU