KUCHING: Dua individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi membanteras penyalahgunaan bahan terlarang di empat pusat hiburan sekitar bandar raya ini.
Kedua-duanya merupakan antara 13 pengunjung yang diperiksa dalam operasi selama dua hari bermula 20 hingga 21 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, operasi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi serbuan serta pemeriksaan di empat premis hiburan.
Menurutnya, pemeriksaan melibatkan 11 lelaki dan dua wanita, termasuk ujian saringan awal air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan awal mendapati dua individu positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusan bagi membendung penyalahgunaan dadah, khususnya di premis hiburan sekitar Kuching.
Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan bahan terlarang.
Beliau turut mengaitkan kejayaan operasi itu dengan risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu polis mengesan kegiatan berkaitan dadah.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Perbuatan memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Orang ramai boleh menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di talian 017-592 9211.


