KUCHING: Kestabilan politik dan kesinambungan dasar pembangunan membolehkan Sarawak memperkukuh ekonomi, meneroka sumber pertumbuhan baharu serta meneruskan usaha mendapatkan kembali hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kestabilan pentadbiran membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada peluasan peluang ekonomi, peningkatan mobiliti rakyat serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.

Menurutnya, peralihan kepada ekonomi digital dan hijau di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menjadi langkah penting untuk memastikan negeri kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama anak-anak Sarawak sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas usaha mendapatkan kembali hak Sarawak, Fadillah berkata, kerajaan negeri akan terus menggunakan saluran rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berdasarkan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
Meskipun beberapa kemajuan telah dicapai, masih terdapat perkara yang memerlukan penelitian lanjut, khususnya berkaitan aspek perundangan dan pembahagian bidang kuasa antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
Antara perkara yang diperjuangkan ialah memastikan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah.
Beliau berkata, kedudukan itu penting bagi memastikan sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh hak Sabah dan Sarawak tidak dibuat tanpa mengambil kira persetujuan kedua-dua wilayah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, rundingan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sedang berlangsung bagi mencapai persefahaman komersial mengenai peranan masing-masing dalam industri minyak dan gas di Sarawak.
Menurut Fadillah, Sarawak mempunyai asas perundangan tersendiri dalam pengurusan industri berkenaan menerusi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO). Oleh itu, sebarang penyelesaian perlu mengambil kira kedudukan undang-undang negeri dan Persekutuan.
Beliau berharap persefahaman dapat dicapai melalui rundingan komersial tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah, sekali gus membolehkan hasil industri berkenaan dimanfaatkan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, usaha memperjuangkan hak Sarawak perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira kepentingan negeri dan Persekutuan, terutama dalam perkara membabitkan hubungan antarabangsa serta urusan rentas sempadan.
Dalam pada itu, Fadillah mengingatkan generasi muda Sarawak supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diri yang kukuh bagi merebut peluang dalam landskap ekonomi negeri yang semakin berkembang.
Beliau berkata, kejayaan bukan hanya bergantung kepada kelayakan akademik, tetapi turut memerlukan kesediaan untuk terus belajar, menguasai bidang diceburi dan menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, legasi terbaik bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya sumbangan yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.
Program AOK merupakan inisiatif Sarawak Volunteers yang menghimpunkan anak-anak Sarawak yang menetap, bekerja dan menuntut ilmu di Semenanjung Malaysia bagi memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat perantauan.
Program itu turut menjadi platform interaksi antara anak-anak Sarawak dengan barisan kepimpinan negeri untuk bertukar pandangan serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan semasa dan hala tuju pembangunan Sarawak.




