ARTIKEL

FOTO fail Gunung Anak Krakatau dilihat dari perairan Selat Sunda pada 12 September 2026. | AFP

Dua pulau baharu muncul

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAKARTA: Dua pulau baharu muncul di perairan berhampiran Gunung Anak Krakatau susulan letusan kuat pada awal September lalu yang menyebabkan penerbangan digantung sementara selama beberapa hari, menurut ketua agensi pemantauan gunung berapi Indonesia pada Jumaat.

Pulau-pulau itu dikesan melalui imej satelit di kawasan perairan tempat terletaknya gunung berapi Anak Krakatau, kata Rita Susilawati daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) kepada AFP.

Jelasnya, berdasarkan penilaian imej satelit Sentinel, dua formasi yang menyerupai pulau kecil dapat dilihat muncul beberapa ratus meter dari Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, di antara Pulau Jawa dengan Sumatera.

Sentinel ialah rangkaian satelit pemerhatian Bumi yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Eropah.

Salah satu pulau itu terletak kira-kira 760 meter di barat laut Gunung Anak Krakatau, manakala satu lagi terletak kira-kira 495 meter di barat daya.

Rita berkata, masih terlalu awal untuk menggelar pulau-pulau itu sebagai “anak-anak” kepada Gunung Anak Krakatau yang ia sendiri terbentuk hasil letusan bawah air di dalam kaldera atau lekukan yang ditinggalkan akibat letusan dahsyat gunung berapi asal Krakatau pada 1883.

Rita menyatakan, kajian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada pulau-pulau baharu itu muncul dari dasar kaldera dengan cara yang serupa dengan pembentukan Anak Krakatau, atau sama ada ia terbentuk hasil daripada timbunan bahan gunung berapi.

Dalam kes Anak Krakatau, beberapa daratan muncul seketika bermula 1927 namun kemudian hilang akibat hakisan, sebelum sebuah pulau yang kekal terbentuk pada 1930, tambahnya.

Dua pulau baharu itu mungkin juga akan mengalami hakisan secara berterusan dan hilang.

Gunung Anak Krakatau meletus tanpa henti selama 25 jam pada September lalu, menyebabkan bandar-bandar diselubungi abu gunung berapi dan memaksa beberapa lapangan terbang ditutup.

Lebih 300,000 penumpang dilaporkan terkandas akibat kejadian itu.

Rita menyatakan, Anak Krakatau kini berada pada Amaran Tahap 2, iaitu tahap kedua terendah daripada empat kategori bahaya.

Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari pusat letusan. Lima wartawan yang dalam misi membuat liputan mengenai letusan pada September disahkan berkemungkinan besar telah meninggal dunia, bersama-sama tiga kru bot, hampir dua minggu selepas kapal yang mereka naiki hilang tanpa dikesan. – AFP

BERITA LAIN

BERITA TERBARU