KUCHING: Dua rakan baik masing-masing dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana sengaja mencederakan seorang lelaki dan memecahkan cermin kereta dalam satu kejadian di kawasan perkuburan di Siburan, 16 Ogos lalu.
Desmond, 40, dan Jospomon, 46, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan di hadapan dua mahkamah berasingan.
Desmond mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 35 tahun.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan terhadap Desmond.
Manakala, Jospomon mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik seorang wanita berusia 31 tahun.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau lapan bulan penjara terhadap Jospomon.
Mereka melakukan kesalahan itu di tanah perkuburan di Kampung Prutan, Siburan, sekitar jam 6 petang, 16 Ogos lalu.
Menurut fakta kes, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati Jospomon berhubung sebuah kereta yang diletakkan di kawasan kubur.
Dia menyangka mangsa lelaki mengambil duit derma yang diletakkan di atas kubur anaknya.
Jospomon juga cuba menyerang mangsa menggunakan sebatang besi sebelum menumbuk mangsa.
Selain itu, Jospomon mengarahkan mangsa mengalihkan kereta tetapi dia tiba-tiba menghalang kereta mangsa menggunakan kenderaan pacuan empat rodanya.
Kemudian, Jospomon menghubungi rakannya untuk datang ke kawasan kejadian.
Kemudian, rakan tertuduh, Desmond, datang ke kawasan kejadian lalu menghentak cermin hadapan kereta milik isteri mangsa sebelum menumbuk mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Aidil Akmal Sharidan dan DPP Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.



