KUCHING: Dua rakan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memiliki harta curi iaitu kabel Telekom (type 200 pair).
Nur Afif Farihin Ishak, 26 dan Mohd Iswandy Hasani, 37, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama memiliki harta curi iaitu kabel (type 200 pair) milik Telekom di tepi jalan jejambat bulatan BDC, sekitar jam 4.30 pagi, 24 Februari lepas.
Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Sekyen 34 kanun yang sama.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan pegawai kanan polis bersama pasukannya membuat rondaan cegah jenayah di sekitar BDC, Stampin.
Semasa rondaan, pengadu dan pasukannya terserempak dengan dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah motosikal.
Pihak polis kemudian menahan kedua-dua tertuduh dan hasil pemeriksaan menjumpai empat gulung kabel Telekom dan peralatan memotong kabel.
Kedua-dua tertuduh ditahan dan rampasan barang ked dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Kerugian yang dialami dianggarkan sekitar RM2,000.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh menyimpan harta curi kabel Telekom Malaysia.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.






