MUKAH: Dua buah rumah struktur tidak kekal di Kampung Bunut, di sini, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.23 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah struktur tidak kekal dan kedua-duanya dilaporkan terbakar 100 peratus.

“Bagaimanapun, kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos, masing-masing sepanjang 100 kaki dan 200 kaki.
Jelasnya, ia turut menggunakan dua nozel serta satu aliran salur bantu mula satu nozel sumber air dari pam jentera dan pili bomba berhampiran sehingga api padam sepenuhnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.17 pagi dan setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan berada dalam keadaan selamat, pasukan operasi beredar pulang ke balai.
Tambahnya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.



