EMPAT hari lalu, saya terbaca satu berita dari Amerika Syarikat (AS) mengenai seorang banduan wanita yang terlepas selepas percubaan melaksanakan hukuman mati terhadapnya gagal.
Wanita itu ialah Christa Gail Pike, 50, satu-satunya wanita yang berada di barisan hukuman mati Tennessee.
Siapakah wanita ini? Christa merupakan banduan yang di penjara pada tahun 1995 ketika dia baru berusia 18 tahun.
Pada 12 Januari tahun tersebut, Christa terlibat dalam pembunuhan Colleen Slemmer, 19, rakan yang dikenalnya melalui program Job Corps di Knoxville, Tennessee.
Christa kemudian disabitkan kesalahan membunuh dan pada 1996 dia dijatuhi hukuman mati.
Dia turut menerima hukuman penjara 25 tahun kerana berkompirasi melakukan pembunuhan.
Namun, hukuman itu tidak terus dilaksanakan. Kes Christa melalui proses rayuan dan cabaran undang-undang selama bertahun-tahun.
Pada 1998, Mahkamah Agung Tennessee akhirnya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadapnya, selain Mahkamah Agung AS menolak permohonannya untuk semakan.
Selepas lebih tiga dekad berada di barisan hukuman mati, tarikh pelaksanaan ditetapkan pada 30 September 2026.
Peguamnya masih berusaha mendapatkan pengampunan dan menukar hukuman itu kepada penjara seumur hidup.
Namun, Gabenor Tennessee, Bill Lee, menolak permohonan berkenaan pada 28 September.
Pada hari pelaksanaan hukuman tersebut, Mahkamah Rayuan tempat memberikan penangguhan, tetapi Mahkamah Agung AS kemudian menolak permohonan Christa untuk menangguhkan hukuman tersebut.
Hukuman mati diteruskan pada malam itu menggunakan suntikan maut berasaskan pentobarbital. Namun, selepas dua dos diberikan, Christa masih hidup. Percubaan itu akhirnya dihentikan dan Christa dibawa ke hospital. Menurut peguamnya, dia berada dalam keadaan kritikal dan menerlukan rawatan untuk menyelamatkan nyawa.
Peguam Christa juga mendakwa berlaku masalah ketika saluran intravena dipasang sehingga ubat masuk ke tisu dan bukan terus ke dalam saluran darah.
Mereka turut mendakwa keadaan itu menyebabkan kecederaan pada lengan Christa. Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih menjadi sebahagian daripada perkara mengenai kegagalan pelaksanaan hukuman mati dan siasatan bebas telah diarahkan oleh Kerajaan Tennessee.
Kejadian itu sekali gus membawa kesan lebih luas dan Gabenor Lee menghentikan sementara pelaksanaan hukuman mati yang masih dijadualkan di Tennessee bagi tahun ini dan mengarahkan semakan bebas terhadap prosedur berkenaan.
Menurut Death Penalty Information Center, Christa dipercayai menjadi individu pertama yang diketahui masih hidup selepas ubat suntikan maut diberikan dalam pelaksanaan hukuman mati di AS pada era moden. Sebelum ini, memang pernah berlaku percubaan pelaksanaan hukuman mati yang gagal, tetapi kes Christa dianggap luar biasa kerana walaupun dua dos ubat maut diberikan tetapi dia masih hidup.
Untuk pengetahuan semua, ini adalah antara cara hukuman mati yang dilaksanakan di Tennessee.
Bagaimana pula dengan negara lain?
Di sesetengah negara, banduan dihukum mati melalui suntikan maut. Ada yang menggunakan tali gantung, skuad tembak atau pancung, manakala AS turut memperkenalkan kaedah hipoksia nitrogen di beberapa negeri. Namun, bukan semua negara memiliki hukuman mati, sebahagian besar negara di dunia sudah memansuhkannya sama ada dalam undang-undang atau dalam amalan.
Pada 2025, Amnesty International merekodkan sekurang-kurangnya 2,707 pelaksanaan hukuman mati di 17 negara.
Angka itu tidak termasuk ribuan pelaksanaan yang dipercayai berlaku di China tetapi tidak dapat disahkan kerana data berkenaan dirahsiakan.
Namun, pada masa yang sama, semakin banyak negara memilih untuk menghapuskan hukuman mati.
Setakat 31 Disember 2025, sebanyak 113 negara telah memansuhkan hukuman mati bagi semua jenayah.
Sembilan negara lagi hanya mengekalkannya bagi jenayah luar biasa tertentu, manakala 23 negara masih mempunyai hukuman mati dalam undang-undang tetapi tidak melaksanakannya selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
Secara keseluruhan, 145 negara dikategorikan sebagai negara yang telah memansuhkan hukuman mati dalam undang-undang atau amalan, manakala 54 negara masih mengekalkannya.
Antara negara yang telah memansuhkan hukuman mati bagi semua jenayah ialah United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Kanada, Australia, New Zealand, Nepal, Bhutan, Filipina, Mongolia, Kazakhstan, Afrika Selatan dan Rwanda.
Sebaliknya, hukuman mati masih dilaksanakan di beberapa negara seperti China, Iran, Arab Saudi, Iraq, Amerika Syarikat, Mesir, Singapura, Jepun dan Korea Utara. Ada juga negara yang mengambil pendekatan berbeza.
Brazil, Chile, Israel, Peru dan Zimbabwe, misalnya, masih memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undang untuk kesalahan luar biasa tertentu, tetapi bukan bagi jenayah biasa.
Malaysia pula memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023. Namun, hukuman mati masih terdapat dalam sistem perundangan negara bagi kesalahan tertentu.
Bagi negara yang masih mengekalkannya, hukuman mati dianggap sebagai hukuman paling berat bagi kesalahan tertentu. Sementara untuk negara yang telah menghapuskannya, hukuman penjara menjadi bentuk hukuman bagi jenayah berat, termasuk penjara seumur hidup dalam keadaan tertentu.
Berbalik semula kes Christa tadi, ada yang mungkin melihat perkara yang berlaku kepada Christa sebagai karma.
Selepas menyebabkan kematian orang lain, dia sendiri dua kali berdepan dengan kematian, tetapi masih terselamat. Sama ada mahu menyebutnya sebagai karma atau sekadar kebetulan, yang pasti, kisah Christa membuka semula persoalan tentang hukuman mati.
Selepas lebih 30 tahun menunggu, hukuman yang sepatutnya menjadi noktah kepada hidupnya gagal dilaksanakan. Dua suntikan maut pun tidak mampu mematikan nyawanya.
Persoalannya, jika hukuman yang paling muktamad itu sendiri boleh gagal, bagaimana pula jika yang gagal bukan prosedurnya, tetapi keputusan terhadap orang yang dihukum?
Kerana apabila nyawa sudah diambil, tiada lagi peluang untuk membetulkan kesilapan.






