KUCHING: Polis telah berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan Tabuan Jaya, dengan anggaran kerugian mencecah RM20,000 pada bulan lepas.
Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, menyatakan bahawa tangkapan tersebut juga menyaksikan rampasan sebuah motosikal jenis Honda Wave Alpha berwarna biru yang digunakan dalam kegiatan jenayah itu.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas salah seorang suspek mendapati dia positif dadah.
“Selain itu, kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat dalam dua kes pecah rumah dan dua kes curi yang masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Farhan, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dengan denda atau sebatan jika kesalahan itu dilakukan untuk kali kedua.
Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang dilakukan kali kedua, hukuman penjara, denda, atau sebatan boleh dikenakan.
“Sepanjang bulan Februari 2025, kami telah berjaya menahan lapan lelaki dan seorang perempuan tempatan berumur antara 18 hingga 50 tahun.
Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di sekitar Tabuan Jaya dan Gita,” tambahnya.


