SARIKEI: Pengalaman menyaksikan seorang mangsa kemalangan kembali berjalan selepas menerima rawatan urutan menjadi titik permulaan kepada minat Asnol Raimi, 47, untuk mendalami bidang urutan terapi bagi membantu individu yang memerlukan.
Kisah itu bermula pada 2001 ketika Asnol menghabiskan cuti semester di Kampung Pasir Tumbuh, Kelantan. Pada masa itu, beliau sedang mengikuti pengajian Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebelum menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan di UNITAR, Kuala Lumpur.
Katanya, kunjungan ke Kelantan setiap kali cuti semester secara tidak langsung memperkenalkannya kepada dunia urutan, sekali gus menyemai minat untuk mempelajari teknik berkenaan dengan lebih mendalam.
“Setiap kali cuti semester, saya akan ke Kelantan. Di situlah timbul minat saya untuk belajar mengurut selama dua tahun,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Beliau memulakan latihan secara kecil-kecilan dengan mengurut cucu gurunya sebagai percubaan awal, sebelum mengembangkan pengalaman dengan membantu ahli keluarga dan saudara-mara terdekat.
Selepas hampir lima tahun mengasah kemahiran dan membina keyakinan, Asnol mula menerima pelanggan di luar lingkungan keluarga.
Beliau turut memperkukuh pengetahuan dengan mengikuti kursus urutan terapi berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.
Sepanjang penglibatannya, Asnol berpeluang mengendalikan pelbagai kes, termasuk individu yang mengalami masalah pergerakan selepas serangan strok. Antara pengalaman yang paling diingatinya ialah membantu seorang individu yang mengalami masalah terseliuh ketika menghadiri majlis perkahwinan.
“Kejadian itu, hampir menjejaskan kelancaran majlis, namun individu berkenaan kembali pulih seperti biasa selepas kira-kira lima minit mendapat urutan saya. Pengalaman ini memberikan kepuasan kepada saya,” katanya.
Khidmat Asnol turut mendapat perhatian pelanggan dari luar Sarawak, termasuk Perak. Antara mereka yang pernah mendapatkan khidmatnya ialah seorang pesakit yang mengalami masalah cakera tulang belakang atau slip disc kronik dan mempunyai sejarah menjalani dua pembedahan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan setiap individu berbeza dan masalah tulang belakang atau gangguan saraf perlu dinilai oleh profesional kesihatan bagi memastikan rawatan yang sesuai.
Sebelum memberikan tumpuan kepada bidang urutan, Asnol pernah berkhidmat sebagai penyelaras projek dan pembantu tadbir kewangan di Jabatan Perbendaharaan Sarawak menerusi projek Smart Mimos pada 2004.
Dalam usaha mengembangkan bidang urutan di kawasan setempat, beliau berdepan cabaran apabila minat masyarakat terhadap kerjaya itu masih terhad berbanding di Semenanjung Malaysia.
Bagi Asnol, kepuasan sebenar bukan diukur berdasarkan jumlah pelanggan atau sejauh mana mereka datang mendapatkan khidmatnya, sebaliknya melalui peluang untuk membantu individu menjalani kehidupan harian dengan lebih baik.
“Yang penting, ini merupakan salah satu cara saya menyemai bakti kepada insan yang memerlukan,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatannya boleh menghubungi Asnol melalui talian 014-5952034.






