KUALA LUMPUR: Dua wanita cedera dalam kebakaran sebuah restoran dua tingkat di Jalan Tun Sambanthan pagi tadi seperti dilapor Bernama.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 3.04 pagi, manakala kebakaran memusnahkan sepenuhnya bahagian bawah restoran dan 50 peratus bahagian atas.
Menurut kenyataan JBPM, wanita berusia 24 dan 34 tahun itu masing-masing cedera pada tangan kanan dan patah tangan kiri, lalu diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Sebanyak 35 anggota dan sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Pantai serta BBP Seputeh terlibat dalam operasi itu, sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.
Dalam pada itu di Selangor, kira-kira 95 peratus stor penyimpanan peralatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Desa Pinggiran Putra, Sepang musnah dalam kebakaran malam tadi, tanpa melibatkan kemalangan jiwa, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar.





