KUCHING: Dua wanita tempatan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara satu bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan mencuri sekotak suplemen kesihatan dan kecantikan bernilai RM265.11 milik sebuah farmasi dan rangkaian kesihatan, Jun lalu.
Tertuduh berusia 25 dan 29 masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama-sama di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, sekitar 6.38 petang, 29 Jun lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu wanita merupakan pekerja kedai melihat dua orang wanita berada di dalam premis kedai semasa dia membuat rondaan.
Pengadu mengecam kedua-dua wanita terbabit semasa mereka berselisih, namun tidak menahan mereka kerana tidak melihat perbuatan mencuri.
Kemudian, dia terus menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seterusnya mempertontonkan aksi mereka menanggalkan alat pengesan (sensor tag) daripada satu kotak suplemen lalu memasukkan ke dalam beg kertas yang mereka bawa.
Kedua-dua tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis di dua tempat berasingan pada 8 Ogos lepas.
Hasil diasatan mendapati kedua-dua tertuduh mencuri produk terbabit dengan tujuan untuk kegunaan peribadi.
Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mencuri secara berulang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala mereka tidak diwakili peguam.



