Pengorbanan seorang guru yang merantau jauh dari Negeri Sembilan untuk berkhidmat di kawasan pedalaman Kapit, Sarawak, merupakan lambang dedikasi yang luar biasa dalam landskap pendidikan negara.
Demi memastikan anak-anak di kawasan hulu sungai mendapat akses pendidikan yang setara, golongan pendidik ini sanggup meninggalkan keluarga, mengenepikan keselesaan bandar serta mempertaruhkan keselamatan diri ketika meredah jeram sungai yang deras dan jalan balak yang berdebu.
Bagi Cikgu Muhamad Hisham Husin, 35, penempatan pertamanya sebagai guru di bumi Sarawak bukan sekadar catatan dalam diari kerjaya, sebaliknya satu pengalaman yang amat istimewa dan mendalam sehingga mengubah falsafah hidupnya sebagai seorang pendidik.
Segalanya bermula pada 29 Januari 2015 apabila anak jati Negeri Sembilan itu menerima penempatan pertamanya sebagai guru di Sarawak.
Tarikh keramat itu mencatatkan satu lembaran penting dalam hidupnya apabila skrin telefon memaparkan mesej:


“Tahniah. Anda ditempatkan di Sarawak.”
Bagi seorang lepasan pendidikan yang tidak pernah meninggalkan negeri kelahirannya, perkataan “Sarawak” pada mulanya menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan.
Namun, siapa sangka bumi yang dahulunya terasa asing dan menakutkan itu akhirnya menjadi tempat yang paling dirindui dan disayanginya.
Inilah kisah pengorbanan, keberanian dan adaptasi seorang guru yang sanggup meredah cabaran kehidupan di pedalaman demi menyahut amanah mendidik anak bangsa.
Bayangkan seorang anak muda yang tidak pernah merantau jauh dari Negeri Sembilan sejak zaman tadika, alam persekolahan hinggalah menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).


Mengenang kembali detik awal sebelum bergelar anak perantau, Cikgu Hisham menyifatkan dirinya sebagai seorang anak yang manja dan selesa dengan kehidupan yang hanya berputar di sekitar kampung halaman serta bandar Seremban.
Justeru, apabila keputusan penempatan diumumkan, jantungnya seolah-olah luruh ke bumi.
“Mama, abang dapat penempatan di Sarawak,” luah Hisham kepada ibunya.
Bagi seorang ibu di Semenanjung pada waktu itu, Sarawak dirasakan seolah-olah berada di belahan dunia yang jauh dan asing.
Menurut Cikgu Hisham, ibunya mempunyai tiga kebimbangan terbesar terhadap anak terunanya. Pertama, dihantar bertugas ke Sarawak; kedua, ditempatkan di sekolah pedalaman; dan ketiga, bertemu jodoh dengan wanita Sarawak.
Ternyata, takdir menentukan bahawa dua daripada kebimbangan besar ibunya itu menjadi kenyataan pada peringkat awal kerjayanya, manakala perkara ketiga menyusul kemudian sebagai pelengkap kebahagiaan hidup.
Detik yang paling meruntun jiwa berlaku apabila Hisham terpaksa berangkat ke lapangan terbang tanpa iringan lambaian dan pelukan daripada ibu bapanya yang terikat dengan tanggungjawab menguruskan kantin sekolah.
Dalam hiruk-pikuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), air mata seorang lelaki tidak dapat dibendung.
Hanya kakak sulungnya yang sempat hadir untuk mengucapkan selamat jalan. Di sebalik tangisan hiba itu, tersemat satu tekad yang mula membara dalam dirinya untuk memikul amanah besar sebagai seorang guru.


Kembara Menuju ke Jantung Kapit
Sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, telinga Hisham sudah dipenuhi dengan pelbagai cerita dan tanggapan negatif tentang Sarawak.
Antaranya termasuk dakwaan bahawa negeri itu masih mempunyai amalan pemburu kepala serta kawasan hutan yang dianggap keras dan berbahaya.
Namun, beliau segera menyedari kebanyakan cerita tersebut datang daripada mereka yang tidak pernah melihat sendiri keindahan, keharmonian dan kedamaian Sarawak.
Cabaran sebenar bermula apabila beliau diarahkan melapor diri di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entuloh, Kapit. Untuk rekod, sekolah itu diklasifikasikan sebagai sekolah pedalaman 3 (P3), iaitu kategori pedalaman yang paling mencabar dari segi geografi dan akses kepada kemudahan asas.
Pengalaman pertama menjejakkan kaki di daerah Kapit terus menguji ketahanan mentalnya apabila beliau diajukan satu soalan yang tidak dijangka oleh Guru Penolong Kanan (PK1) ketika berada di hotel penginapan mereka di Kapit.
“Cikgu, cikgu pandai berenangkah?” tanya PK1 berkenaan.
Dengan penuh jujur dan wajah yang pucat, Hisham menjawab, “Tak pandai, cikgu.”
Soalan ringkas itu sudah cukup untuk membuatkan bulu romanya meremang.
Beliau mula membayangkan pelbagai kemungkinan yang tidak diingini. Adakah beliau perlu berenang merentasi sungai yang dalam untuk sampai ke sekolah nanti?
Hisham kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki bot ekspres selama tiga jam dari Kapit ke Nanga Merirai secara bersendirian.
Disebabkan PK1 mempunyai urusan mesyuarat mengejut yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa berdikari di tempat yang asing baginya.
Sepanjang tiga jam menyusuri arus Sungai Rajang dan Sungai Baleh, matanya tidak berani dilelapkan walaupun sesaat. Beliau terlalu bimbang jika terlepas jeti atau pangkalan yang sepatutnya, seperti yang telah dipesan oleh PK1.
Berbekalkan loghat Semenanjung dan aplikasi peta pada telefon pintar yang menerima isyarat secara tidak menentu, beliau memberanikan diri bertanya kepada penumpang di sebelahnya satu demi satu bagi memastikan tidak tersesat di pedalaman Bumi Kenyalang yang masih asing dalam ingatannya ketika itu.
Keindahan di Sebalik Kesunyian Hulu Sungai
Ketakutan dan debaran yang dialami sepanjang perjalanan menyusuri sungai yang luas bak Laut China Selatan akhirnya bertukar menjadi rasa hiba yang mendamaikan sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di pekarangan SK Nanga Entuloh.
Sekolah itu rupa-rupanya sebuah lembah yang amat tenang, terletak indah di hulu sungai dan dikelilingi belantara dara yang menghijau.
Rutin kehidupan kota yang sibuk segera digantikan dengan simfoni alam semula jadi yang memukau.
Setiap hari, telinga Cikgu Hisham disajikan dengan deruan air sungai yang jernih, kicauan burung hutan dan desiran unggas malam. Kehidupan di pedalaman itu mengajarnya erti kesederhanaan yang sebenar.
Kemudahan asas di sekolah pada waktu itu amat terhad. Pihak sekolah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada set jana kuasa elektrik (genset).
Akibat salah satu daripada dua genset mengalami kerosakan, bekalan elektrik terpaksa dicatu. Tepat jam 10 malam, genset akan dimatikan sepenuhnya.
“Waktu malam apabila genset ditutup, keadaan menjadi sangat gelap. Buka mata atau tutup mata, sama sahaja gelapnya,” katanya berseloroh ketika mengenang suasana malam di pedalaman.
Bagaimanapun, kekangan itu membuka ruang kepada aktiviti yang lebih menyegarkan. Pada waktu petang, para guru akan mandi di sungai yang dingin, berkelah dan menikmati mi segera yang dimasak bersama udang sungai segar hasil tangkapan penduduk tempatan.
Namun, hulu sungai tetap mempunyai cabarannya yang tersendiri. Bagi Cikgu Hisham, musuh nombor satu yang paling menguji kesabarannya ialah serangga kecil yang dikenali sebagai kerengit.
Serangga kecil yang hampir tidak kelihatan itu sering menjadikannya mangsa gigitan sehingga menyebabkan buku lalinya dipenuhi kesan kehitaman dan meninggalkan parut gatal yang amat menyengat.
Namun, semua itu diterima sebagai rencah yang mewarnai diari kehidupannya di pedalaman.
Ayam Mengajar Anak Itik
Dengan bilangan murid seramai 23 orang bagi keseluruhan sekolah pada waktu itu, suasana pembelajaran di SK Nanga Entuloh boleh dianggap lebih eksklusif dan akrab berbanding sekolah di Semenanjung yang lazimnya mempunyai puluhan murid dalam satu kelas.
Bagaimanapun, tugas mengajar murid Tahun Satu yang hampir keseluruhannya terdiri daripada murid berbangsa Iban bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang guru Melayu dari Negeri Sembilan. Situasi menjadi lebih mencabar apabila beliau ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Ia ibarat seekor ayam nak mengajar sekelas anak itik. Seorang bunyi kok, kok, kok, yang lain pula bunyi kuek, kuek, kuek,” seloroh Cikgu Hisham mengenang memori lucu tersebut.
Beliau menceritakan betapa sukarnya membina jambatan komunikasi pada peringkat awal kerana langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa Iban.
Pernah sekali, seorang murid lelaki berdiri tegak di hadapan pintu kelas dengan wajah yang amat gelisah sambil berkata, “Cikgu, aku ka kemek! Enda alah tat agi tok.” (Cikgu, saya hendak membuang air kecil! Saya sudah tidak tahan lagi.)
Cikgu Hisham hanya mampu memandang anak muridnya itu dengan wajah yang bingung kerana tidak memahami walau sepatah perkataan yang diucapkan.
Hanya selepas melihat murid tersebut memegang bahagian seluarnya sambil terlompat-lompat, barulah beliau memahami isyarat fizikal bahawa kanak-kanak itu mahu ke tandas.
Detik-detik salah faham yang mencuit hati itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.
Malah, melalui anak-anak murid inilah Cikgu Hisham mula mengutip kosa kata bahasa Iban setiap hari.
Beliau mencatatkannya dalam sebuah buku nota kecil dan mempraktikkannya dalam perbualan harian.
Lama-kelamaan, anak jati Negeri Sembilan itu mula fasih bertegur sapa dan bertanya khabar kepada penduduk kampung dalam bahasa Iban, antaranya dengan ungkapan seperti “Ibok udah makai?” (Makcik sudah makan?) dan “Kini dek ayak?” (Ke mana pakcik hendak pergi?).
Keikhlasan Penduduk Rumah Panjang
Di sebalik kepayahan hidup dan kedudukan geografi yang terpencil di pedalaman Kapit, perkara utama yang menyebabkan Cikgu Hisham jatuh cinta dan terikat jiwanya dengan Sarawak ialah sifat pemurah, keluhuran hati dan kebaikan luar biasa yang ditunjukkan oleh masyarakat tempatan.
Walaupun keluarga kandungnya berada beribu-ribu kilometer di seberang Laut China Selatan, penduduk kampung di sekitar SK Nanga Entuloh melayannya seperti anak kandung mereka sendiri tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya.
Pintu kuarters kediamannya sentiasa diketuk oleh penduduk rumah panjang yang datang menghantar hasil tanaman, buah-buahan hutan dan hasil buruan secara percuma.
Beliau kerap menerima empasa tutok (pucuk ubi yang ditumbuk), cili, buah-buahan bermusim dan yang paling istimewa, ikan semah atau kelah, iaitu sejenis ikan sungai gred premium yang bernilai tinggi di pasaran.
Apabila tiba musim buah-buahan, anak-anak muridnya akan memikul beg anyaman tradisional yang dipanggil uyut, sarat dengan durian untuk dihadiahkan kepada guru mereka.
Bukan itu sahaja, rasa hormat yang ditunjukkan oleh anak-anak murid di pedalaman disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat murni dan sukar ditemukan di kawasan bandar.
Bagi masyarakat di situ, guru ialah insan yang sangat mulia dan dihormati setinggi-tingginya.
Setiap kali Cikgu Hisham pulang selepas mendapatkan bekalan barangan runcit di pekan Kapit yang jauh, anak-anak muridnya yang bertubuh kecil sudah bersedia untuk berhimpun dan menanti di pangkalan kayu, iaitu jelatung, di tepi sungai.
Tanpa diarah, mereka berebut-rebut untuk membantu mengangkat barang-barang berat milik guru mereka, seperti beg pakaian, tong gas memasak dan kampit beras seberat 10 kilogram, untuk dibawa naik ke kuarters.
Keikhlasan dan keringat anak-anak kecil itu biasanya dibalas oleh Cikgu Hisham dengan coklat dan snek sebagai tanda penghargaan. Interaksi kasih sayang sedemikian mengikat tali kekeluargaan yang amat erat antara seorang guru dengan komunitinya.
Lonjakan Prestasi Akademik di Tengah Kekurangan
Keterbatasan pendedahan kepada dunia luar akibat faktor geografi menyebabkan sebahagian besar murid di kawasan pedalaman tersebut pada awalnya agak ketinggalan dari segi pencapaian akademik.
Ada antara mereka yang tidak pernah keluar dari kawasan kampung untuk pergi ke pekan terdekat sepanjang hayat mereka. Pengetahuan mereka tentang kemajuan dunia luar juga amat terbatas.
Bagi mengatasi jurang ini dan mengekalkan motivasi murid, Cikgu Hisham menggunakan pendekatan visual.
Setiap kali beliau turun ke pekan untuk urusan rasmi atau peribadi, beliau akan memperuntukkan masa untuk memuat turun pelbagai video dan gambar tentang kemajuan dunia luar, kecanggihan teknologi serta bangunan pencakar langit melalui akses Internet di pekan.
Bahan multimedia tersebut kemudiannya ditayangkan kepada anak-anak muridnya di dalam kelas dengan menggunakan komputer riba.
“Saya selalu berpesan dan menanamkan kefahaman dalam minda mereka bahawa hanya melalui laluan pendidikan, mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga serta keluar daripada kepompong kemiskinan,” tegas beliau.
Usaha gigih tersebut membuahkan hasil yang amat manis dan menjadi pencapaian yang paling membanggakannya sepanjang berkhidmat di hulu Kapit.
Cikgu Hisham berjaya memastikan kesemua tujuh murid Tahun 6 di sekolahnya lulus sepenuhnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun tersebut.
Malah, seorang murid perempuannya berjaya memperoleh gred A bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman dan Bahasa Malaysia Penulisan.
Lebih menyentuh hati, seorang murid lelaki yang pada mulanya langsung tidak mengenal huruf dan tidak pandai membaca akibat kerap ponteng sekolah pada tahun-tahun sebelumnya akhirnya berjaya lulus dengan baik dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia selepas diberikan bimbingan peribadi yang rapi, walaupun perlu ditegur dengan tegas dan dikenakan denda demi mendisiplinkannya.
Takdir Cinta di Atas Bot Ekspres
Bumi Sarawak bukan sahaja mendewasakan kerjaya perguruan Cikgu Hisham, malah di sinilah juga terakam sebuah kisah cinta yang indah.
Kenangan manis yang paling tidak dapat dilupakannya di pedalaman Sarawak ialah saat beliau bertemu jodoh dengan seorang guru wanita berbangsa Iban.
Detik pertemuan romantis itu berlaku secara tidak sengaja di dalam bot ekspres yang sedang dalam perjalanan dari daerah Kapit ke bandar Sibu.
Pertemuan tersebut akhirnya membawa mereka ke jinjang pelaminan. Kini, mereka hidup bahagia dan dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Selepas beberapa tahun menabur bakti di SK Nanga Entuloh, Cikgu Hisham akhirnya terpaksa memohon pertukaran ke sekolah yang mempunyai akses jalan raya yang lebih baik.
Hal ini demikian kerana beliau perlu mengambil kira komitmen keluarga serta faktor keselamatan isteri dan anak sulungnya yang masih kecil pada waktu itu, memandangkan mereka terpaksa menempuh perjalanan sungai yang jauh dan memenatkan.
Kini, beliau meneruskan khidmat baktinya di SK Nanga Tada, sebuah sekolah di daerah Kanowit, Sarawak.
Berdasarkan pengalaman luasnya merasai kegetiran hidup tanpa kemudahan asas yang lengkap, Cikgu Muhamad Hisham menekankan bahawa terdapat beberapa aspek kritikal yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya oleh pihak kerajaan dan kementerian berkaitan bagi meningkatkan mutu pendidikan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Pertama, aspek kemudahan infrastruktur fizikal, seperti bangunan bilik darjah yang lengkap, kemudahan asrama murid yang selesa dan penyediaan akses jalan darat yang selamat, harus disegerakan bagi menggantikan laluan sungai yang berisiko tinggi.
Kedua, penyediaan kemudahan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi amat mendesak kerana sistem pendidikan moden kini memerlukan akses kepada maklumat dan pengurusan secara lebih pantas serta cekap.
Ketiga, jaminan bekalan elektrik 24 jam melalui sistem solar hibrid atau penyambungan terus kepada grid Sarawak Energy Berhad, atau SESCO, perlu diperluas ke semua sekolah pedalaman.
Beliau turut menyarankan pelibatan aktif badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus turun ke lapangan bagi memberikan kesedaran kepada komuniti setempat tentang kepentingan pendidikan jangka panjang demi masa depan anak-anak mereka.
Nasihat Emas Buat Pendidik Muda
Mengakhiri perkongsian kisahnya yang penuh inspirasi ini, Cikgu Muhamad Hisham menitipkan pesanan dan nasihat yang amat bermakna kepada guru-guru muda atau graduan baharu yang berasa bimbang, takut atau terkilan apabila menerima slip penempatan ke kawasan pedalaman Sarawak atau Sabah.
“Nasihat saya kepada adik-adik pendidik, jangan pernah ada rasa takut dan jangan sesekali berasa gentar di dalam hati apabila nama anda dicalonkan untuk bertugas di kawasan pedalaman.
“Pergilah ke sana dengan hati yang lapang dan rasailah sendiri pengalaman yang sangat berharga itu. Jangan cepat merungut dan jangan mudah melatah dengan kekurangan yang ada,” pesan beliau dengan penuh harapan.
Beliau turut mengingatkan para pendidik supaya sentiasa memanjatkan rasa syukur kerana di luar sana masih terdapat ribuan lepasan yang bercita-cita tinggi untuk menyarung jersi sebagai seorang guru, namun belum diberikan rezeki dan peluang yang sama.
“Pekakkan telinga daripada mendengar cerita-cerita negatif yang belum pasti kebenarannya.
“Sahutlah cabaran ini dengan penuh integriti kerana anda ialah insan terpilih yang diamanahkan untuk menyalakan obor ilmu di dada anak-anak pedalaman. Belum cuba, belum tahu.
“Apabila kita berada di tempat orang, jagalah adab pertuturan serta hormatilah adat resam dan budaya masyarakat setempat. Bergaullah dengan komuniti, dan jangan sesekali meninggi diri atau sombong.
“Sifat sombong tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya, keikhlasan dalam mendidik akan menjadikan kita sebahagian daripada keluarga besar mereka,” ujar Cikgu Hisham sambil menamatkan bicara.
Sesungguhnya, biarpun raga dan jasad para guru ini mungkin akan berpindah tugas ke tempat lain pada masa hadapan, jiwa, kasih sayang dan memori murni yang telah mereka pasakkan di bumi bertuah Sarawak ini akan tetap tinggal selama-lamanya di Bumi Kenyalang.
Semuanya menjadi saksi bisu kepada sebuah pengorbanan tanpa sempadan demi masa depan nusa dan bangsa.



