ARTIKEL

Dulu ditakuti kini dicintai JIKA CIKGU HISHAM TERTINGGAL DI BUMI KENYALANG

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pengorbanan seorang guru yang merantau jauh dari Negeri Sembilan untuk berkhidmat di kawasan pedalaman Kapit, Sarawak, merupakan lambang dedikasi yang luar biasa dalam landskap pendidikan negara.

Demi memastikan anakanak di kawasan hulu sungai mendapat akses pendidikan yang setara, golongan pendidik ini sanggup meninggalkan keluarga, mengetepikan keselesaan bandar serta mempertaruhkan keselamatan diri ketika meredah jeram sungai yang deras dan jalan balak yang berdebu.

Bagi Cikgu Muhamad Hisham Husin, 35, penempatan pertamanya sebagai guru di bumi Sarawak bukan sekadar catatan dalam diari kerjaya, sebaliknya satu pengalaman yang amat istimewa dan mendalam sehingga mengubah falsafah hidupnya sebagai seorang pendidik.

Segalanya bermula pada 29 Januari 2015 apabila anak jati Negeri Sembilan itu menerima penempatan pertamanya sebagai guru di Sarawak.

Tarikh keramat itu mencatatkan satu lembaran penting dalam hidupnya apabila skrin telefon memaparkan mesej: “Tahniah. Anda ditempatkan di Sarawak.”

Bagi seorang lepasan pendidikan yang tidak pernah meninggalkan negeri kelahirannya, perkataan “Sarawak” pada mulanya menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan.

Namun, siapa sangka bumi yang dahulunya terasa asing dan menakutkan itu akhirnya menjadi tempat yang paling dirindui dan disayanginya.

Inilah kisah pengorbanan, keberanian dan adaptasi seorang guru yang sanggup meredah cabaran kehidupan di pedalaman demi menyahut amanah mendidik anak bangsa. Bayangkan seorang anak muda yang tidak pernah merantau jauh dari Negeri Sembilan sejak zaman tadika, alam persekolahan hinggalah menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Mengenang kembali detik awal sebelum bergelar anak perantau, Cikgu Hisham menyifatkan dirinya sebagai seorang anak yang manja dan selesa dengan kehidupan yang hanya berputar di sekitar kampung halaman serta bandar Seremban. Justeru, apabila keputusan penempatan diumumkan, jantungnya seolah-olah luruh ke bumi.

“Mama, abang dapat penempatan di Sarawak,” luah Hisham kepada ibunya. Bagi seorang ibu di Semenanjung pada waktu itu, Sarawak dirasakan seolah-olah berada di belahan dunia yang jauh dan asing. Menurut Cikgu Hisham, ibunya mempunyai tiga kebimbangan terbesar terhadap anak terunanya.

Pertama, dihantar bertugas ke Sarawak; kedua, ditempatkan di sekolah pedalaman; dan ketiga, bertemu jodoh dengan wanita Sarawak. Ternyata, takdir menentukan bahawa dua daripada kebimbangan besar ibunya itu menjadi kenyataan pada peringkat awal kerjayanya, manakala perkara ketiga menyusul kemudian sebagai pelengkap kebahagiaan hidup.

Detik yang paling meruntun jiwa berlaku apabila Hisham terpaksa berangkat ke lapangan terbang tanpa iringan lambaian dan pelukan daripada ibu bapanya yang terikat dengan tanggungjawab menguruskan kantin sekolah. Dalam hiruk-pikuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), air mata seorang lelaki tidak dapat dibendung.

Hanya kakak sulungnya yang sempat hadir untuk mengucapkan selamat jalan. Di sebalik tangisan hiba itu, tersemat satu tekad yang mula membara dalam dirinya untuk memikul amanah besar sebagai seorang guru.

KEMBARA MENUJU KE JANTUNG KAPIT

Sebelum menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, telinga Hisham sudah dipenuhi dengan pelbagai cerita dan tanggapan negatif tentang Sarawak. Antaranya termasuk dakwaan bahawa negeri itu masih mempunyai amalan pemburu kepala serta kawasan hutan yang dianggap keras dan berbahaya.

Namun, beliau segera menyedari kebanyakan cerita tersebut datang daripada mereka yang tidak pernah melihat sendiri keindahan, keharmonian dan kedamaian Sarawak. Cabaran sebenar bermula apabila beliau diarahkan melapor diri di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entuloh, Kapit.

Untuk rekod, sekolah itu diklasifikasikan sebagai sekolah pedalaman 3 (P3), iaitu kategori pedalaman yang paling mencabar dari segi geografi dan akses kepada kemudahan asas. Pengalaman pertama menjejakkan kaki di daerah Kapit terus menguji ketahanan mentalnya apabila beliau diajukan satu soalan yang tidak dijangka oleh Guru Penolong Kanan (PK1) ketika berada di hotel penginapan mereka di Kapit.

“Cikgu, cikgu pandai berenangkah?” tanya PK1 berkenaan. Dengan penuh jujur dan wajah yang pucat, Hisham menjawab, “Tak pandai, cikgu.” Soalan ringkas itu sudah cukup untuk membuatkan bulu romanya meremang. Beliau mula membayangkan pelbagai kemungkinan yang tidak diingini.

Adakah beliau perlu berenang merentasi sungai yang dalam untuk sampai ke sekolah nanti?

Hisham kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki bot ekspres selama tiga jam dari Kapit ke Nanga Merirai secara bersendirian. Disebabkan PK1 mempunyai urusan mesyuarat mengejut yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa berdikari di tempat yang asing baginya.

Sepanjang tiga jam menyusuri arus Sungai Rajang dan Sungai Baleh, matanya tidak berani dilelapkan walaupun sesaat. Beliau terlalu bimbang jika terlepas jeti atau pangkalan yang sepatutnya, seperti yang dipesan oleh PK1.

Berbekalkan loghat Semenanjung dan aplikasi peta pada telefon pintar yang menerima isyarat secara tidak menentu, beliau memberanikan diri bertanya kepada penumpang di sebelahnya satu demi satu bagi memastikan tidak tersesat di pedalaman Bumi Kenyalang yang masih asing dalam ingatannya ketika itu.

KEINDAHAN DI SEBALIK KESUNYIAN HULU SUNGAI

Ketakutan dan debaran yang dialami sepanjang perjalanan menyusuri sungai yang luas bak Laut China Selatan akhirnya bertukar menjadi rasa hiba yang mendamaikan sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di pekarangan SK Nanga Entuloh.

Sekolah itu rupa-rupanya sebuah lembah yang amat tenang, terletak indah di hulu sungai dan dikelilingi belantara dara yang menghijau. Rutin kehidupan kota yang sibuk segera digantikan dengan simfoni alam semula jadi yang memukau.

Setiap hari, telinga Cikgu Hisham disajikan dengan deruan air sungai yang jernih, kicauan burung hutan dan desiran unggas malam. Kehidupan di pedalaman itu mengajarnya erti kesederhanaan yang sebenar. Kemudahan asas di sekolah pada waktu itu amat terhad. Pihak sekolah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jana kuasa (genset).

Akibat salah satu daripada dua jana kuasa mengalami kerosakan, bekalan elektrik terpaksa dicatu. Tepat jam 10.00 malam, jana kuasa akan dimatikan sepenuhnya.

“Waktu malam apabila jana kuasa ditutup, keadaan menjadi sangat gelap. Buka mata atau tutup mata, sama sahaja gelapnya,” katanya berseloroh ketika mengenang suasana malam di pedalaman. Bagaimanapun, kekangan itu membuka ruang kepada aktiviti yang lebih menyegarkan.

Pada waktu petang, para guru akan mandi di sungai yang dingin, berkelah dan menikmati mi segera yang dimasak bersama udang sungai segar hasil tangkapan penduduk tempatan. Namun, hulu sungai tetap mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Bagi Cikgu Hisham, musuh nombor satu yang paling menguji kesabarannya ialah serangga kecil yang dikenali sebagai agas atau kerengit. Serangga kecil yang hampir tidak kelihatan itu sering menjadikannya mangsa gigitan sehingga menyebabkan buku lalinya dipenuhi kesan kehitaman dan meninggalkan parut gatal yang amat menyengat.

Namun, semua itu diterima sebagai rencah yang mewarnai diari kehidupannya di pedalaman.

AYAM MENGAJAR ANAK ITIK

Dengan bilangan murid seramai 23 orang bagi keseluruhan sekolah pada waktu itu, suasana pembelajaran di SK Nanga Entuloh boleh dianggap lebih eksklusif dan akrab berbanding sekolah di Semenanjung yang lazimnya mempunyai puluhan murid dalam satu kelas.

Bagaimanapun, tugas mengajar murid Tahun Satu yang hampir keseluruhannya terdiri daripada murid berbangsa Iban bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang guru Melayu dari Negeri Sembilan. Situasi menjadi lebih mencabar apabila beliau ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Ia ibarat seekor ayam nak mengajar sekelas anak itik. Seorang bunyi kok, kok, kok, yang lain pula bunyi kuek, kuek, kuek,” seloroh Cikgu Hisham mengenang memori lucu tersebut.

Beliau menceritakan betapa sukarnya membina jambatan komunikasi pada peringkat awal kerana langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang bahasa Iban.

Pernah sekali, seorang murid lelaki berdiri tegak di hadapan pintu kelas dengan wajah yang amat gelisah sambil berkata, “Cikgu, aku ka kemek! Enda alah tat agi tok.” (Cikgu, saya hendak membuang air kecil! Saya sudah tidak tahan lagi.)

Cikgu Hisham hanya mampu memandang anak muridnya itu dengan wajah yang bingung kerana tidak memahami walau sepatah perkataan yang diucapkan. Hanya selepas melihat murid tersebut memegang bahagian seluarnya sambil terlompatlompat, barulah beliau memahami isyarat fizikal bahawa kanak-kanak itu mahu ke tandas. Detik-detik salah faham yang mencuit hati itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya.

Malah, melalui anak-anak murid inilah Cikgu Hisham mula mengutip kosa kata bahasa Iban setiap hari. Beliau mencatatkannya dalam sebuah buku nota kecil dan mempraktikkannya dalam perbualan harian.

Lama-kelamaan, anak jati Negeri Sembilan itu mula fasih bertegur sapa dan bertanya khabar kepada penduduk kampung dalam bahasa Iban, antaranya dengan ungkapan seperti “Ibok udah makai?” (Makcik sudah makan?) dan “Kini dek ayak?” (Ke mana pakcik hendak pergi?).

• Bersambung minggu hadapan

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha