Penangkapan menteri besar kerajaan sementara Kedah Muhamad Sanusi Md Nor mendapat pelbagai respons pelbagai pihak, khususnya berkaitan waktu penangkapan sekitar 3 pagi.
Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan sebelum penangkapan, beberapa panggilan telefon yang dibuat terhadap Sanusi ditolak.
Lokasi Sanusi juga sukar dikenal pasti.
Di media sosial, penyokong Sanusi mengaitkan penahanan beliau dengan penangkapan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim era reformasi.
Bagaimanapun, viral juga di Twitter apabila warga maya membangkitkan penahanan seorang warga emas berusia 61 tahun atas dakwaan menghina Sanusi selaku menteri besar Kedah pada Ogos 2021 juga pada awal pagi.
Tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Azizan Hamzah dengan Pas merupakan sebahagian Kerajaan Persekutuan.
“Dulu pak cik ni ditahan jam 3.57 pagi kerana dituduh hina Sanusi, jangan kita lupa. Hari ni giliran Sanusi,” tulis pengguna di Twitter.
Manakala, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut menyebut kes yang sama berkaitan pakcik yang ditahan itu didakwa menghina Sanusi.
“Ada seorang pakcik yang ditahan 3 atau 4 pagi (pada 2021) kerana didakwa menghina Sanusi, saya rasa itu mungkin satu perbandingan tepat,” ujar Fahmi selepas menghadiri sambutan Awal Muharam bersama-sama Anwar dan Yang di-Pertuan Agong di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.
Fahmi turut mengingatkan, jangan cuba lagakan rakyat dengan raja yang merupakan batas yang tidak boleh kita lepasi.



