ARTIKEL

DUN Sarawak bubar, beri laluan PRN-13

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, di sini, hari ini, selepas menghadap Tun Wan Junaidi bagi membincangkan tempoh hayat DUN serta perkara berkaitan kepentingan negeri.

Beliau berkata, DUN Sarawak Ke-19 mula bersidang pada 14 Februari 2022 dan berdasarkan Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak, tempoh hayat DUN ialah lima tahun dari tarikh persidangan pertama, melainkan dibubarkan lebih awal.

Menurutnya, sejak menerima mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus berusaha memajukan negeri, memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan awam, serta mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pelbagai pencapaian kerajaan sepanjang penggal pentadbiran mencerminkan usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membina masa depan Sarawak yang lebih baik.

“Apabila penggal ini menghampiri penghujungnya, adalah wajar mandat baharu diperoleh daripada rakyat.

“Selaras dengan amalan demokrasi berparlimen, rakyat perlu diberi peluang menggunakan hak demokrasi untuk memilih kerajaan baharu dengan mandat segar bagi meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pembubaran DUN mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak. Menurut Perkara 21(4), pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang dalam tempoh 120 hari dari tarikh berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan, termasuk penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Dalam tempoh itu, kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan sementara mengikut peruntukan perlembagaan dan konvensyen yang berkuat kuasa, manakala pentadbiran awam serta perkhidmatan penting akan terus beroperasi bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan sepanjang penggal pentadbiran, selain berterima kasih kepada Ahli DUN dan penjawat awam atas khidmat mereka.

Beliau menyeru semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong, supaya mematuhi undang-undang serta memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian sepanjang tempoh pilihan raya.

BERITA LAIN

Sarawak-Libya teroka kerjasama pendidikan

KUCHING: Peluang memperluas kerjasama pendidikan tinggi dan latihan antara Sarawak dengan Libya menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri

BERITA TERBARU

Wanita rugi RM192,000 diperdaya sindiket penipuan

KUCHING: Hasrat seorang wanita berusia 61 tahun untuk membersihkan namanya daripada dakwaan terbabit dalam pengubahan wang haram bertukar mimpi ngeri apabila dia kerugian RM192,000 selepas