KUCHING: Hasrat seorang wanita berusia 61 tahun untuk membersihkan namanya daripada dakwaan terbabit dalam pengubahan wang haram bertukar mimpi ngeri apabila dia kerugian RM192,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pegawai polis ketika berada di rumah pada 16 Oktober lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram sebelum memintanya memindahkan wang ke akaun bank tertentu bagi membersihkan namanya daripada kes berkenaan.
“Suspek turut menjanjikan wang tersebut akan dipulangkan semula selepas urusan itu selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat terpedaya dengan helah itu, mangsa membuat satu transaksi pemindahan wang berjumlah RM192,000 ke akaun bank yang diberikan suspek.
Alexson berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila wang berkenaan tidak dikembalikan seperti yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan, sebaliknya menamatkan panggilan berkenaan dan tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali.
Orang ramai juga disaran menyemak nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule PDRM sebelum melakukan sebarang transaksi. Maklumat berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak di talian 011-62890089.





