KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta mempergiat dan mempercepat proses pengukuran serta pengeluaran hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), tegas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya, langkah itu khusus bagi tanah yang sudah diusahakan pekebun kecil kelapa sawit supaya mereka tidak kehilangan akses ke pasaran antarabangsa susulan pelaksanaan Peraturan Penyahutanan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Ketiadaan dokumen pemilikan tanah rasmi menyukarkan kira-kira 58,000 pekebun kecil kelapa sawit persendirian di Sarawak untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa, walaupun kegiatan penanaman mereka sah dan tidak melibatkan penyahhutanan.
“Kelewatan dalam proses pengukuran dan dokumentasi tanah NCR berpotensi menyebabkan hasil pekebun kecil tersisih daripada rantaian bekalan serta pasaran penting, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka dan keluarga.
“Pemilik tanah NCR tidak seharusnya menjadi mangsa kelewatan pentadbiran. Mereka tidak boleh dinafikan peluang untuk memperoleh pendapatan yang munasabah daripada tanah sendiri hanya kerana belum menerima hak milik tanah rasmi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengeluaran hak milik tanah individu kepada pemilik NCR yang layak perlu dipercepatkan supaya mereka mempunyai dokumen perundangan yang dapat mengesahkan hak tanah masing-masing dan membantu memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Ujarnya, bagi tanah yang masih belum diberikan hak milik individu, pihak berkuasa berkaitan juga perlu meneroka langkah sementara yang praktikal, termasuk menyediakan dokumen pengiktirafan hak tanah adat yang diiktiraf di sisi undang-undang.
Pada masa sama, Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, menyokong usaha Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi Persekutuan serta Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) untuk memohon pengecualian khas daripada Kesatuan Eropah bagi tanah NCR di bawah EUDR.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberikan perkembangan terkini mengenai kemajuan rayuan berkenaan serta maklum balas yang diterima daripada Kesatuan Eropah, sekiranya ada.
“Usaha mendapatkan pengecualian di peringkat antarabangsa perlu dilaksanakan seiring dengan langkah mempercepat pengukuran, penandaan sempadan dan pendokumentasian tanah NCR.
“Keperluan EUDR turut melibatkan pembuktian kesahan serta kebolehkesanan pengeluaran minyak sawit, termasuk keperluan pemetaan dan penentuan lokasi geografi,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau meminta penyelarasan lebih erat antara Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa persekutuan, Persatuan Pekebun Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) dan pihak berkepentingan industri bagi merangka serta melaksanakan penyelesaian praktikal untuk melindungi kepentingan pekebun kecil.
Tambahnya, dokumentasi pemilikan tanah kini bukan lagi sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya menjadi faktor penting dalam melindungi mata pencarian dan masa depan ekonomi masyarakat luar bandar.
“Mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan bekerja keras membangunkan tanah masing-masing.
“Kini, pihak kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawabnya dengan memastikan hak tanah mereka didokumentasikan dengan sewajarnya dan peluang ekonomi mereka dilindungi,” tambahnya lagi.





