MUKAH: Cuaca panas yang melanda Sarawak sejak kebelakangan ini, ternyata membawa limpahan rezeki kepada segelintir penduduk, terutama kepada nelayan persisir pantai Muara Lassa dan Kuala Rajang.
Bagai mendapat ‘durian runtuh’ nelayan yang sebahagian besarnya dari, Rajang, Belawai, Pulau Bruit dan Kuala Matu itu, meraih rezeki berlipat kali ganda apabila mendaratkan pelbagai jenis tangkapan dengan jumlah yang lebih banyak berbanding biasa.
Ali Sahri, 45, dari Kuala Matu berkata, walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, mereka masih mampu menjana pendapatan lumayan.
Malah katanya, cuaca panas melampau, menghadkan aktiviti mereka pada waktu siang namun, mereka masih berpeluang memburu ikan dan udang dengan keluar ke laut seawal subuh.
“Tapi syukurlah sebab pada masa ini juga adalah musim ikan lumek, bawal dan udang sesar. Tapi kami mesti ke laut pada waktu malam dan pulang keesokan harinya,” katanya.

Menurut Ali, harga pasaran juga agak tinggi iaitu mencecah RM5 hingga RM6 sekilogram bagi udang sesar, RM3 hingga RM38 sekilogram (ikan lumek hidup dan kering) manakala, RM22 sekilogram untuk ikan bawal.
“Setiap hari nelayan di sini sekurang-kurangnya boleh mendaratkan 100 hingga 150 kilogram pelbagai jenis ikan dan jumlah itu mampu menampung kerugian kami ketika musim tengkujuh,” katanya.
Manakala bagi nelayan Kuala Rajang pula, langkah proaktif kerajaan Sarawak meletakkan tukun tiruan ‘Reef Ball’ sepanjang pantai Belawai membawa rezeki berlipat kali ganda kepada mereka.
Perkara tersebut turut diakui oleh Penghulu Belawai, Adenan Gos yang mengakui kadar penangkapan ikan nelayan di kawasan itu kian meningkat setelah program pelabuhan tukun ‘reef ball’ dilaksanakan sejak tahun lalu.
Selain ikan garut-garut katanya, beberapa spesis lain juga berjaya dinaikkan termasuk ompak, ikan jan, pari, dan lain-lain lagi.

“Malah, ada antaranya yang jarang ditangkap di perairan ini antaranya, ikan terubuk.
Tukun-tukun ini seolah-olah membawa limpahan rezeki kepada nelayan kami. Terima kasih Kerajaan Sarawak,” katanya.
Adenan berkata, tukun-tukun itu bukan sahaja menjadi lubuk ikan tetapi juga membantu memperkayakan hidupan marin dengan memastikan hanya kaedah penangkapan ikan tertentu sahaja dapat dilakukan.
“Saya yakin melalui usaha murni kerajaan Sarawak ini, nelayan Belawai juga berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan mengambil upah membawa pemancing ke kawasan tersebut bagi tujuan rekreasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, lebih 600 tukuntiruan jenis diletakkan sepanjang 30 kilometer di Perairan Belawai sehingga Perairan Paloh sejak 8 September tahun lalu.
