E-Sukan jana minda, jana pendapatan

SEKARANG ini permainan elektronik, e-Sukan semakin mendapat tempat setelah pelbagai usaha dan program dilakukan bagi mengiktiraf permainan teknologi ini. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan belia, tetapi juga kanak-kanak.

Sejak 2015 hingga kini penganjuran pertandingan di alam maya melibatkan komputer dan telefon pintar terus rancak berkembang di serata dunia, termasuk Malaysia. Ia menjadi satu trend dan sebagai industri baharu yang harus diterima oleh semua golongan masyarakat.

Dengan ancaman Covid-19 permainan dalam talian ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia, apabila jumlah penggemar semakin meningkat. Malah Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia dan Sukan sendiri telah menganjurkan permainan ini, fokus kepada golongan belia, bagi memastikan mereka tidak tersasar daripada haluan masing-masing sepanjang PKP.

Walaupun kini PKP telah mencapai tahap pemulihan ia tetap tidak mengubah hala tuju pemain e-Sukan ini untuk terus aktif, malah sepanjang PKP ada golongan belia yang mula mahir sepanjang empat bulan tersebut.

Selain itu, dengan penglibatan belia ia dapat memupuk semangat kekitaan antara mereka sebagai satu pasukan untuk bersaing bagi menjuarai mana-mana pertandingan.

Tanpa disedari e-Sukan boleh dijadikan sebagai satu kerjaya, iaitu sebagai pemain profesional dengan menjana pendapatan lumayan daripada aktiviti dalam talian atau streaming yang dibuat melalui laman sosial seperti Facebook.

Adalah tidak menghairankan e-Sukan bakal diwujudkan sebagai pertandingan berskala global yang diadakan secara serentak di seluruh dunia.

Misalnya di Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun, e-Sukan dijadikan sebagai industri baharu yang mampu menghimpunkan peserta tanpa mengira latar belakang dan tempat. Aspek kemahiran serta ketangkasan akan menentukan tahap kepakaran dan kebolehan masing-masing.

Sama seperti di Malaysia e-Sukan ini telah diiktiraf oleh pelbagai pihak sehingga tertubuhnya beberapa pertubuan penting seperti Esports Malaysia dan Sarawak Esports Association (SESA) Pertubuhan ini berperanan untuk menganjurkan pertandingan, memantau perkembangan dan membantu pemain untuk berjaya ke tahap yang lebih tinggi.

Malah e-Sukan sentiasa menjadi acara dalam sesuatu program.

Hadiah lumayan menjadi tarikan para peserta. Mungkin trend ini kembali berkembang dalam masa terdekat setelah Covid-19 mula reda di Malaysia.

E-Sukan ini juga dapat membantu menyerlahkan keyakinan dan kemahiran beliau dalam sesuatu pertandingan.

Ia mampu menjana minda untuk berfikir dengan lebih kritikal dan pantas dengan menggunakan kemahiran yang ada untuk menumbangkan pihak lawan.

Kemahiran ini juga melibatkan ketangkasan pemain mengawal karektor dan sejauh mana mereka dapat mengadaptasi suasana dalam alam maya ini untuk menyelesaikan sesuatu misi.

Oleh itu daya pemikiran kritis dan kritikal ini penting bagi pemain. Di samping itu, ia juga membabitkan perkembangan semangat berkumpulan dan banyak mendidik pemain bagaimana untuk bekerja dan bermain dalam satu pasukan untuk menyelesaikan misi masing-masing.

Oleh itu gabungan kemahiran, dan semangat berpasukan menerusi komunikasi yang betul dapat membantu mereka menjadi pemain yang serba boleh, malah menjadi insan yang bijak berkomunikasi dan mengawal situasi.

Belia perlu mengambil peluang ini sama ada menjadi pemain profesional mahupun individu yang aktif membangunkan perisian.

Sebagai ibu bapa mereka perlu melihat e-Sukan ini sebagai satu bidang yang boleh mengharumkan nama negara mahupun keluarga.

Ini terbukti dengan beberapa kumpulan pemain profesional di Malaysia yang telah mengharumkam nama negara seperti Yoodo Gank, AROV Esport, Junior Talent dan Genexus. Mereka mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Suara Sarawak