SERIAN: Kerajaan Sarawak akan memanfaatkan sepenuhnya sistem pemprofilan e-Tani bagi memastikan bantuan pertanian disalurkan secara lebih bersasar mengikut aktiviti dan keperluan sebenar petani.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, sistem itu membolehkan kerajaan mengenal pasti profil serta portfolio pertanian setiap petani, sekali gus memastikan bantuan input dan peralatan yang disalurkan bersesuaian dengan tanaman atau ternakan yang diusahakan.
Tambah beliau, maklumat yang diperoleh menerusi sistem e-Tani turut membantu memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, selain mengelakkan pembaziran sumber kerajaan.
“Jika seseorang petani mengusahakan penternakan ikan, kita berikan bantuan berkaitan penternakan ikan. Jika mereka mengusahakan kelapa sawit atau tanaman sayur-sayuran, bantuan yang diberikan mestilah bersesuaian dengan aktiviti tersebut.
“Kita perlu mengetahui apa yang diusahakan oleh setiap petani. Melalui profil e-Tani, kita dapat mengenal pasti bidang tumpuan mereka dan menyediakan input pertanian yang sesuai,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Agrofest Serian 2026 di Pusat Persidangan Serian (SCC), di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil serta tetamu kehormat yang lain.
Mengulas lanjut, Dr Rundi memberitahu bahawa sebelum ini terdapat keadaan apabila input pertanian diagihkan kepada seluruh penduduk kampung atau rumah panjang walaupun hanya sebilangan kecil penduduk benar-benar memerlukannya.
Jelas beliau, pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak berkesan, malah mengakibatkan pembaziran dana kerajaan.
“Saya sendiri pernah melihat keadaan apabila hanya dua atau tiga orang di sebuah rumah panjang mengusahakan penternakan ikan, tetapi makanan ikan diagihkan kepada seluruh rumah panjang.
“Akibatnya, sebahagian daripada bantuan itu tidak digunakan atau tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya. Ini merupakan pembaziran wang kerajaan,” tegas beliau.
Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Pertanian perlu meninggalkan pendekatan lama dan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup petani.
Kata beliau, petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian dan Jabatan Pertanian adalah untuk mengubah kehidupan petani, memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih berada dalam kumpulan berpendapatan B40.
“Kita tidak boleh menunggu orang lain mengubah keadaan kita. Kita sendiri perlu berusaha meningkatkan taraf hidup, manakala kerajaan, kementerian dan jabatan akan terus mencari kaedah bagi memudahkan aktiviti pertanian serta menjadikannya lebih menguntungkan.
“Sudah tiba masanya kita mengubah minda daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu memberikan pulangan tinggi serta meningkatkan taraf hidup petani,” ujar beliau.



